PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel dan menyita sejumlah 2.264 juta liter diesel subsidi bernilai RM5.391 juta.
Sehubungan itu, sebanyak 9,093 premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 245 kertas siasatan dibuka sejak 1 Januari 2024 sehingga 6 Mac 2024.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, nilai rampasan yang melibatkan lain-lain peralatan, kenderaan dan sebagainya adalah bernilai RM12,461,938.
Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan sitaan di bawah OPS TIRIS 3.0 bagi kes-kes melibatkan diesel ialah RM17,853,344 juta.
“Pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan merupakan salah satu fokus penguatkuasaan dalam menangani ketirisan subsidi diesel.
“Ia melibatkan risiko ketirisan dengan penjualan diesel bersubsidi kepada sektor industri yang tidak bekelayakan dan penyeludupan kepada nelayan asing.
“KPDN akan memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, KPDN Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan dalam satu serbuan di daerah Sungai Besar, Selangor pada 5 Mac lalu.
Premis yang terlibat disyaki menjadi stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi nelayan.
Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu, pasukan penguat kuasa telah menyita sejumlah 24,875 liter minyak diesel dan peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM187,350.00.
Armizan menegaskan mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan perlu sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan melibatkan penyelewengan diesel boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Individu atau syarikat yang terlibat akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Ia melibatkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,” katanya. – UTUSAN










