KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang dalam proses mengkaji kebolehlaksanaan Lemon Law bagi memastikan hak pengguna dapat diperkasakan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, undang-undang tersebut akan membantu pengguna dalam menuntut tebus rugi sekiranya mereka menerima kenderaan motor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti atau prestasi seperti dijanjikan pembekal.
“Setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan kerja perundangan dilaksanakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada Lemon Law akan diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna dalam pembelian kenderaan baharu dan terpakai sekiranya berlaku kerosakan.
Bagaimanapun, Armizan berkata, pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Lemon Law tidak bermaksud kerajaan ingin memperkenalkan undang-undang baharu.
Ini kerana, jelasnya, negara mempunyai undang-undang sedia ada yang melindungi pengguna seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan sebagainya.
“Sama ada kita perkukuhkan akta perlindungan pengguna sedia ada dan pada masa sama, kita tahu kajian ini akan mengambil masa.
“Kita sedang dalam proses, selain untuk mempertimbangkan untuk meminda undang-undang sedia ada, kita memperkenalkan peraturan (baharu) di bawah Akta 599 untuk membolehkan proses tuntutan dibuat dengan kadar segera,” katanya.-UTUSAN










