BALIK PULAU: Setiap kali Ramadan, penduduk di Teluk Bahang, di sini tidak perlu mengunci jam untuk bangun sahur memandangkan tugas itu telah diambil alih oleh pasukan gerak sahur anak-anak kariah Teluk Bahang.
Sejak 2018, pasukan gerak sahur itu akan mengejutkan umat Islam di Teluk Bahang bersahur dengan menaiki motosikal dan mengetuk buluh antara pukul 4 hingga 5 pagi.
Selain menggunakan buluh, pasukan gerak sahur ini juga akan melaungkan ungkapan ‘sahur’ di sepanjang laluan mereka di Teluk Bahang.
Ketua pasukan gerak sahur, Mohd. Ali Abdul Jabbar berkata, setiap hari bermula 1 hingga 30 Ramadan, anak-anak kariah Teluk Bahang akan bersama-sama pasukan tersebut mengejutkan umat Islam di kampung tersebut untuk bersahur.
“Aktiviti ini terbuka kepada semua anak-anak kariah Teluk Bahang, setiap hari terdapat kira-kira 20 remaja akan menyertai pasukan kami, jika cuti hujung minggu remaja yang sertai pasukan kami akan bertambah.
“Kami akan mengelilingi tujuh kawasan kampung dan empat buah flat di Teluk Bahang setiap hari dengan menggunakan motosikal serta mengetuk buluh untuk mengejutkan umat Islam bersahur,” katanya di sini, semalam.
Menurut Mohd. Ali, inisiatif itu digerakkan bagi menghidupkan semula tradisi gerak sahur yang semakin dilupakan generasi muda.
‘”Pada zaman dahulu kita ada tradisi orang ramai mengejutkan umat Islam bersahur, jadi kami mahu anak-anak muda tidak melupakan tradisi ini.
“Orang kampung juga mengalu-alukan aktiviti ini kerana mereka tidak perlu bimbang sekiranya terlupa mengunci jam kerana pasukan kami ada setiap hari untuk mengejutkan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ahli pasukan gerak sahur, Afif Dini Afzainizam, 20, berkata, dia berharap lebih ramai lagi anak muda dari kariah Teluk Bahang menyertai pasukan gerak sahur itu pada masa depan untuk memeriahkan waktu sahur.
“Waktu sahur selalunya orang sukar untuk bangun kerana sedang nyenyak tidur, jadi kami bersama-sama pasukan gerak sahur mahu membantu orang ramai menghidupkan sunnah Nabi Muhammad untuk umat Islam bangun bersahur,” jelasnya. – UTUSAN










