Kerajaan tawar perjanjian CSA kepada pembangkang?

Kerajaan tawar perjanjian CSA kepada pembangkang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen pembangkang mendakwa terdapat ‘tawaran’ kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya menyokong kerajaan sekali gus mendapatkan peruntukan bagi pembangunan kawasan masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Ketereh daripada Pas, Datuk Khlir Mohd. Nor mendakwa, tawaran itu supaya mereka menandatangani perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) bagi menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan menandatangani perjanjian itu, katanya, ia bakal memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen menerima peruntukan khas bagi pembangunan kawasan yang menjadi tuntutan mereka selama ini.

“Sudah ada tawaran tandatangan untuk menyokong. Ada syarat-syaratnya. Kalau cakap macam itu (beri sahaja peruntukan) tidak mengapa, masalahnya ada syaratnya. Kalau syaratnya ketat bagaimana?” soalnya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Pada November tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

Beliau mahu peraturan dihormati iaitu ahli Parlimen pembangkang perlu berunding bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof terlebih dahulu berhubung peruntukan pembangunan kawasan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam pemberitahuan pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat kelmarin mendakwa, kawasan parlimennya masih belum menerima peruntukan walaupun sudah tiga kali berunding dengan Fadillah.

Mengulas lanjut, Khlir berkata, ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak merancang berjumpa Fadillah untuk berunding isu peruntukan kawasan selagi kerajaan meletakkan syarat sehingga tahap menyokong kerajaan semasa.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya meletakkan syarat-syarat tertentu bagi membolehkan mereka menerima peruntukan berkenaan.

“Kalau pun kami mahu peruntukan ini, kami hanya akan pergi secara konsensus Perikatan Nasional (PN) dan bukan secara perseorangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN