Kerajaan mahu reformasi fiskal negara - Utusan Malaysia

Kerajaan mahu reformasi fiskal negara

ANWAR Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) di Putrajaya, semalam. -FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mereformasikan fiskal negara dengan memberi tumpuan kepada subsidi bersasar dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagih bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedar bahawa langkah mereformasikan fiskal adalah sesuatu yang berat bagi semua pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha tersebut perlu dimulakan dari sekarang untuk merancakkan semula ekonomi negara yang sudah tidak berkembang sejak 20 tahun lalu.

“Hakikatnya, dengan hasil cukai sebanyak 11.8 peratus sahaja daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), kerajaan punyai ruang terhad untuk melabur dalam aspek pembangunan rakyat dan memberi bantuan sewajarnya kepada golongan rentan serta yang memerlukan.

“Bagi mengorak langkah Malaysia menggapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi yang bersandarkan nilai manusiawi, kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal agar ia bertunjang di landasan yang mampan dan utuh. 

“Pembaharuan fiskal akan ditumpukan kepada penyasaran subsidi dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagihkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikannya bagi membincang dan meneliti senario terkini ekonomi Malaysia serta unjuran jangka pendek dan sederhana kedudukan fiskal negara. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan pimpinannya akan menokhtahkan gejala ketagihan kepada hutang bagi memulihkan semula keyakinan pelabur luar.

“Dalam mesyuarat FPC, ahli jawatankuasa senada untuk memperkukuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (DMO) bagi menambah baik pengurusan hutang kerajaan serta memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) di bawah Kementerian Kewangan yang menjadi pusat rujukan utama untuk pelabur pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN