PUTRAJAYA: DAP menyokong keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil sebagai suara nurani masyarakat antarabangsa dalam menyatakan pendirian tegas tentang penindasan berterusan Israel terhadap Palestin.
Permulaan Ramadan melihat lebih 30,000 nyawa terkorban sejak episod keganasan terbaru Israel yang mengepung dan menyerang Gaza.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pujian yang diterima Anwar atas penilaian terus terangnya mengenai situasi Palestin semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz mencerminkan kekecewaan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel dan sekutunya.
“Cubaan untuk mempertahankan penindasan rakyat Palestin walaupun mereka sedang menghadapi kebuluran adalah lanjutan daripada kezaliman terhadap rakyat Palestin sejak peristiwa Nakba pada tahun 1948.
“Sementara kita bersolidariti dengan rakyat Palestin, harus ditekankan bahawa kekejaman di Gaza hanya dapat ditamatkan melalui penyelesaian antarabangsa.
“Oleh itu, rakyat Malaysia mempunyai kewajiban moral untuk berdiri bersama dengan Perdana Menteri kita dalam mencari pengakhiran kepada kesengsaraan rakyat Palestin di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.










