ALOR SETAR: Ramadan memberi limpahan rezeki kepada usahawan kecil dan sederhana di Kompleks Pekan Rabu, di sini termasuk pengusaha ikan pekasam yang meningkat jualan mereka berbanding hari biasa.
Pelbagai jenis ikan pekasam seperti lampam, puyu, kembong, sepat, haruan, gelama, tilapia, belanak termasuk daging dan telur ikan menjadi pilihan pelanggan yang datang.
Menurut seorang penjual dan pengusaha ikan pekasam, Norfishah Abu Bakar, 56, dia mampu menjual sehingga 300 kilogram (kg) ikan pekasam itu sepanjang Ramadan sebelum ini.
“Permintaan untuk ikan pekasam memang tinggi pada bulan puasa dan Syawal juga apabila orang yang tinggal di ibu negara misalnya balik beraya di kampung. Pekasam yang paling laris adalah lampam dan puyu.
“Ikan pekasam ini saya ambil daripada pembuat di seluruh Kedah dan Perlis sementara daging serta telur ikan kami proses sendiri,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kompleks Pekan Rabu, di sini semalam.
Norfishah yang sudah lebih 20 tahun berniaga ikan pekasam berkata, pelanggannya bukan sahaja dari Kedah tetapi dari negeri lain sehingga ke selatan tanah air termasuk ada dalam kalangan mereka membeli dalam kuantiti banyak untuk dijual semula.
Seorang lagi peniaga, Fatin Nadia Azizan, 33, berkata, ikan pekasam itu dijual dengan harga RM10 sebekas atau mengikut permintaan pelanggan.
“Banyak juga yang datang beli untuk kawan-kawan di tempat lain. Kami akan bungkus dengan rapi bekas ini supaya senang untuk mereka poskan,” katanya. – UTUSAN










