KLANG: Kesemua empat kru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) termasuk juruterbang helikopter milik pihak berkuasa itu yang terhempas dekat perairan berhampiran Pulau Angsa awal bulan ini kembali bertugas sejak minggu lalu.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, kesihatan kesemua pegawai dan anggota berkenaan dipastikan berada dalam keadaan baik sebelum mereka kembali bertugas.
“Pilot semua sudah kembali bertugas, tadi kita berbincang tentang perkara ini. Saya dimaklumkan mula bertugas sejak minggu lepas, sebenarnya impak yang paling teruk dialami adalah pilot yang lain pun sihat,” katanya kepada pemberita pada Pelancaran Operasi (Op) Khas Pagar Laut ketika meninjau perairan di Pelabuhan Klang di atas Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan helikopter Maritim Malaysia terhempas di Perairan Pulau Angsa pada 5 Mac lalu ketika pihak berkuasa itu sedang melakukan aktiviti latihan menyelamat.
Maritim Malaysia dalam kenyataannya memberitahu, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 9.55 pagi dengan empat penumpangnya terselamat dengan diberikan bantuan awal oleh bot pemancing.
Mereka terdiri daripada Leftenan Komander Maritim, Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim.
Dalam pada itu, Hamid memaklumkan pencarian kotak hitam Helikopter AW139 itu masih dilakukan dan punca nahas juga masih disiasat.
“Memang kita masih mencari kotak hitam dan masih dalam siasatan. Bila kita sedia, kita akan dedahkan kepada media,” jelasnya. – UTUSAN










