Dia beli YB saya, lepas itu mahu kerjasama, baguslah - Shafie

“Dia beli YB saya, lepas itu mahu kerjasama, baguslah” – Shafie

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal enggan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang kerana tindakan gabungan parti itu ‘membeli’ 11 wakil rakyat partinya.

Beliau juga menolak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mendakwa parti itu menjadi punca kejatuhan kerajaan pimpinannya pada 2020.

“Bukan tidak boleh, tapi pasal dulu Bersatu yang tumbangkan saya, lepas itu dia beli YB-YB (Yang Berhormat) saya, mahu bekerjasama macam mana?

“Boleh ke bekerjasama, kalau dia ambil anak saya, dia ambil isteri saya, lepas itu dia kata, mari bekerjasama. Bagus, sedap kalau begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan baru-baru ini.

Sebelum ini, Mohd. Shafie menyatakan kesediaan Warisan untuk bekerjasama dengan UMNO dalam PRN Sabah walaupun pernah disingkirkan daripada bekas partinya itu pada 2016.

Ditanya sama ada kerjasama antara Warisan dan GRS masih boleh berlaku dalam beberapa bulan akan datang, Mohd. Shafie kekal dengan pendiriannya.

“Saya seorang yang berprinsip. Saya dari dulu lagi, kalau ada orang nak bagi jawatan, saya tidak kejar jawatan, saya hanya suara rakyat, saya wakil rakyat yang bersuara untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan saya. Kalau nak bersuara untuk kepentingan kita, selama mana?” katanya.

Beliau bagaimanapun kekal dengan sokongannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri walaupun tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Sabah.

“Saya hanya mahu bantu Sabah dan nak tolong kamu di Semenanjung. Sebab itu, baru-baru ini ada Langkah Dubai, saya tidak ada. Agong pun tidak mahu.

“Saya bagi sokongan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya konsisten, tapi esok kalau kamu tidak perform, kamu jaga, saya memang macam itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN