Dana pembangkang disekat, rakyat jadi mangsa – Syed Saddiq

Dana pembangkang disekat, rakyat jadi mangsa – Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun senada dengan isu-isu dibawa pembangkang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, partinya mempunyai pendirian tersendiri dalam isu tertentu untuk dipertahankan seperti peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Muar itu berkata, sekatan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak patut berlaku kerana tindakan tersebut secara tidak langsung menjadikan rakyat sebagai mangsa.

“Saya akur titah Yang di-Pertuan Agong kerana dalam bab ini, kita perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa, untuk menjadi semak dan imbang, suara rakyat sebagai fokus utama.

“Pada masa sama kerajaan perlu tunaikan janji seperti yang dikatakan sebelum pilihan raya kerana realitinya mereka sedang menghukum keluarga yang susah, cikgu, penduduk di kawasan pembangkang kerana apabila peruntukan tidak diberikan, ini bermakna..rakyat dihukum kerana tidak memakai warna politik yang sama,” kata bekas Presiden MUDA ketika dihubungi.

Isu tiada peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang menjadi hangat apabila beberapa pemimpin membangkitkannya. Antara yang lantang mengkritik ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Kabinet perlu menonjolkan sifat negarawan dengan menyalurkan peruntukan secara adil termasuk kepada pembangkang.

Jelas Idris, beliau tidak seharusnya berdolak-dalik dan wajib menyalurkan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada wakil rakyat termasuk Senator Dewan Negara tanpa syarat dan berat sebelah.

Susulan kesukaran itu, beberapa pemimpin pembangkang menyokong Perdana Menteri dan akhirnya mereka mendapat peruntukan untuk disalurkan kepada rakyat di kawasan mereka.

Menjelaskan keadaan itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi sebelum ini dipetik berkata, beliau mengakui selepas memberi sokongan kepada Perdana Menteri pada 24 Januari lalu, bantuan rakyat dapat disalurkan seperti mengadakan Program Jualan Termurah Malaysia Madani.

“Saya mohon maaf kepada rakyat kawasan saya, bukan saya tak nak buat program tapi ahli Parlimen pembangkang kita tak mampu lakukan apa-apa.

“Cuma hari ini baru kita boleh lakukan dan pertama kali Program Jualan Termurah Malaysia Madani dengan bantuan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN