Pembangkang dakwa bahasa Melayu King Sing sukar difahami  

Pembangkang dakwa bahasa Melayu menteri pelancongan teruk, sukar difahami  

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tahap penguasaan bahasa Melayu Datuk Seri Tiong King Sing dipertikai beberapa ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat hari ini. 

Situasi itu bermula ketika Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya, namun dicelah oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin [PN-Masjid Tanah] yang mendakwa penerangannya tidak jelas dan sukar difahami. 

Bagaimanapun, King Sing tidak peduli dengan celahan Mas Ermieyati dan memberitahu akan memberi jawapan bertulis.  

Mas Ermieyati: Yang Berhormat, cakap betul-betul, saya tidak berapa jelas. Sebab bukan saya sahaja tidak faham, tetapi ramai yang tidak jelas. Cakap bahasa Melayu jelas sikit, YB. Takut mengelirukan Dewan. 

King Sing: Saya jawab bertulis. 

Mas Ermieyati: Mana boleh jawapan bertulis, ini penting. Pasal data. 

Datuk Rosol Wahid [PN-Hulu Terengganu] turut bangkit mencelah dengan mengatakan beliau juga tidak faham dengan penerangan King Sing dalam penggulungannya.

“Speaker, macam mana kita mahu faham. Bahasa Melayu teruk. Kita tanya lain dia jawab lain,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudian menegur Rosol yang tidak berpuas hati dengan penjelasan menteri, akibat tindakannya yang beberapa kali bangun tanpa menggunakan Peratuan Mesyuarat. 

Datuk Awang Solahuddin Hashim [PN-Pendang] turut bangun dengan Peraturan Mesyuarat 38(3) kerana mendakwa beliau tidak faham dengan jawapan King Sing.

“Saya ingat Datuk Yang Dipertua (Dewan Rakyat) berhentikan penggulungan menteri sebab kami tidak faham apa yang dibaca. Apa yang dibentang oleh menteri kami pun tidak faham. Mungkin dia sendiri pun tak faham bahasa Melayunya,” katanya. 

Bagaimanapun, Datuk Seri Bung Moktar Radin [BN-Kinabatangan] menepis dakwaan berkenaan dan berkata, beliau memahami keterangan King Sing. 

“Sebetulnya Pendang buang masa. Buang masa menteri. Saya faham sahaja apa yang menteri cakap. Kenapa pula dia tidak faham?,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN