AS$1.8 bilion tidak dilabur seperti dirancang - Pakar

AS$1.8 bilion tidak dilabur seperti dirancang – Pakar

NAJIB Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar bicara kes saman SRC International terhadapnya. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pakar pemulangan aset rentas sempadan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, dana AS$1.8 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang dipindahkan ke dalam akaun SRC BVI tidak digunakan untuk pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber asli.

Angela Barkhouse berkata, dana itu dipindahkan oleh SRC International kepada tiga akaun anak syarikatnya (SRC BVI) selama tiga tahun antara 2011 dan 2014.

Beliau yang juga pelikuidasi bagi SRC BVI berkata, daripada AS$1.8 bilion itu, sejumlah AS$864.4 juta dipindahkan kepada Cistenique Investment Fund BV, Enterprise Emerging Markets Funds BV dan Pacific Rim Global Growth Ltd.

Namun kata Angela, tiada satu daripada amaun AS$864.4 juta yang dibayar kepada ketiga-tiga syarikat itu, digunakan untuk membuat pelaburan dalam sektor sumber asli dan tenaga.

Menurut saksi plaintif kedua itu, bakinya diberikan kepada Muraset Ltd dan Gobi Resources Coal Ltd masing-masing sebanyak AS$15 juta dan AS$4.5 juta.

“Ketiga-tiga syarikat itu sebenarnya digunakan untuk mengaburkan pergerakan dana yang diselewengkan daripada SRC,” kata Angela dalam pernyataan saksi ketika memberi keterangan secara Zoom pada perbicaraan kes saman SRC International terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pakar pemulangan aset luar pesisir itu seterusnya berkata, syarikat-syarikat terlibat dikatakan memegang portfolio pelaburan yang sah dan menjadi dana pelaburan bebas.

Namun, tujuan sebenar adalah untuk beroperasi sebagai saluran yang direka bagi membolehkan wang disalurkan kepada pihak ketiga, sambil memberikan gambaran yang munasabah tetapi sebenarnya palsu.

“Mereka tidak menggunakan wang yang diterima daripada SRC BVI (anak syarikat SRC) untuk melabur dalam portfolio pelaburan yang sah, sebaliknya memindahkan dana kepada pihak ketiga sejurus ia diterima, (selepas) menerima arahan,” katanya.

Angela yang juga Pengarah Urusan Quantuma International berkata, SRC International memindahkan sekitar AS$1.18 bilion ke akaun SRC BVI bagi tujuan pelaburan yang mana dana itu berasal dari pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada KWAP.

Beliau pernah mengetuai pasukan bagi menangani kes berprofil tinggi dan kompleks berkaitan penipuan, rasuah salah laku kewangan, konflik kepentingan, penyelewengan dan kecurian dana pelaburan milik beberapa negara.

Saksi itu turut berperanan mendapatkan semula kerugian kewangan atau aset pelanggan yang dicuri selain bertindak sebagai pelikuidasi dalam pertikaian berkaitan hal insolvensi.

Beliau berkata, pada 17 Februari 2012, resolusi SRC menetapkan bahawa pada 26 Ogos 2011, perjanjian kemudahan sebanyak RM2 bilion dimeterai antara KWAP dan SRC International (Pinjaman Pertama) dan RM1.8 bilion ditukar kepada mata wang Dolar Amerika Syarikat (AS) dan dibayar kepada SRC BVI.

Katanya, resolusi itu meluluskan lagi kemudahan kedua sebanyak RM2 bilion (Pinjaman Kedua) yang mana RM1.8 bilion akan ditukar kepada mata wang dolar dan dibayar kepada SRC BVI.

“Pada 3 November 2011, BNM menetapkan syarat mengenai penggunaan pinjaman pertama KWAP (Kebenaran BNM Pertama) bahawa RM1.8 bilion hanya boleh digunakan untuk memperoleh PT ABM Investama dan Bumi Resources Tbk PT di Indonesia dan Gobi Coal and Energy Limited dan Erdens-Tavan Tolgoi di Mongolia.

“Tambahan itu, pada 6 April 2012, Kebenaran Kedua BNM menyatakan bahawa pinjaman kedua KWAP perlu digunakan untuk pelaburan dalam industri tenaga dan sumber asli, tidak termasuk minyak dan gas,” katanya.

Saksi pakar perakaunan, siasatan forensik dan kewangan itu selanjutnya berkata, sebahagian dana dilaburkan dalam PT ABM Investama dan Gobi Coal and Energy Limited.

Sebaliknya, kata Angela, majoriti pinjaman KWAP tidak digunakan untuk memperoleh empat entiti yang disenaraikan dalam Kebenaran Pertama BNM, mahupun melabur dalam tenaga dan sumber asli.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN