Titah Adendum wujud, kesahihan masih tidak diketahui

Titah Adendum wujud, kesahihan masih tidak diketahui

HASNAH MOHAMMED HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Titah Adendum wujud namun sama ada perintah tambahan itu sah atau benar (valid and true) perlu diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dinyatakan dalam keputusan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

“Buat masa ini, perintah tambahan (Titah Adendum) itu wujud dan statusnya dari segi kesahihan atau sama ada ia benar perlu dipastikan dalam pendengaran substantif yang mana kami tidak menganggap wajar atau adil untuk kami nyatakan sebarang pandangan pada peringkat ini.

“Walaupun perintah tambahan itu wujud, kewujudan itu sendiri tidak bermakna ia boleh diterima secara automatik. Responden (Najib) masih perlu memenuhi peraturan dan kriteria berhubung penerimaan Titah Adendum tersebut sebagai keterangan baharu.

“Kewujudan perintah tambahan itu tidak secara automatik menjadikan perintah tersebut sah. Isu ini perlu ditentukan dalam pendengaran substantif bagi prosiding semakan kehakiman,” ujar Hakim Zabariah ketika membaca penghakiman panel itu setebal 22 muka surat.

Selepas membaca penghakiman tersebut, panel terbabit mengarahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan turut menetapkan pengurusan kes pertama pada 18 Ogos ini.

Terdahulu ketika membaca penghakiman tersebut, Hakim Zabariah menyatakan, ketika prosiding pendengaran rayuan itu sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar telah mengakui bahawa Titah Adendum itu wujud.

“Pengakuan tersebut memberi kesan yang besar terhadap persoalan perundangan yang dikemukakan kepada kami, khususnya soalan-soalan yang berkaitan dengan kewujudan Titah Adendum yang dipertikaikan.

“Kami ingin menegaskan bahawa penghakiman kami (hari ini) tidak menyatakan bahawa perintah tambahan itu adalah sebahagian daripada perintah pengampunan dan kami juga tidak menyatakan bahawa ia bukan (sebahagian daripada perintah pengampunan itu). Adalah terlalu awal pada peringkat ini untuk mahkamah ini membuat penentuan sedemikian.

“Ini adalah perkara yang memerlukan siasatan lanjut secara menyeluruh antara pihak-pihak, dengan segala keterangan yang diperlukan berdasarkan fakta dan segala hujahan yang diperlukan berdasarkan undang-undang,” ujar Hakim Zabariah ketika membaca penghakiman panel itu.

Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Peguam Negara turut merayu terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada tarikh sama yang membenarkan Najib memasukkan Titah Adendum tersebut sebagai bukti baharu dalam prosiding semakan kehakiman tersebut.

Titah Adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Januari tahun lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya berkait kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta di rumah dan bukannya Penjara Kajang.

Di Mahkamah Rayuan, Najib memohon untuk memasukkan Titah Adendum tersebut sebagai bukti baharu rentetan daripada afidavit yang difailkan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar selepas mendapat pengesahan daripada Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan perintah itu.

Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Beliau juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN