KUANTAN: Semua pihak digesa supaya menghormati dan menerima dengan penuh keterbukaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, keputusan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu sememangnya begitu dinanti-nantikan oleh jutaan ahli parti tersebut dan juga penyokong Najib.
Menurutnya, pengampunan bersyarat yang diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 itu membawa kelegaan yang begitu besar kepada seluruh ahli UMNO serta penyokong yang sentiasa mendoakan keadilan buat bekas Perdana Menteri berkenaan.
Beliau melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT dan menyembah takzim setinggi-tinggi junjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan serta sifat ihsan baginda dalam membuat pertimbangan berkenaan.
Pada masa sama, Mohd. Sharkar turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas segala doa, keprihatinan serta usaha baginda sebelum ini berhubung perkara tersebut.
“Keprihatinan institusi diraja itu mencerminkan keadilan dan kasih sayang raja pemerintah terhadap rakyatnya, sekali gus memberi sinar baharu kepada Najib dan keluarga,” katanya.
Berhubung syarat pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan, beliau mengalu-alukan dan menyokong penuh penubuhan tabung sumbangan khas yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membantu meringankan beban kewangan ditanggung Najib.
Beliau menyeru seluruh akar umbi parti, penyokong dan masyarakat yang menghargai jasa dan bakti Najib selama mentadbir negara untuk bersama-sama menterjemahkan solidariti menerusi tabung berkenaan.
Katanya, keputusan kebenaran tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 itu juga menjadi titik tolak penting yang mengukuhkan lagi semangat perjuangan parti dalam membela nasib pemimpin yang banyak berjasa serta mendoakan agar urusan beliau sentiasa dipermudahkan. – UTUSAN











