Abdul Hadi utus surat menjunjung kasih kepada Sultan Selangor

Abdul Hadi utus surat menjunjung kasih kepada Sultan Selangor

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Hadi Awang mengutus surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kelmarin.

Pejabat Presiden Pas melalui makluman yang dikongsi di media sosial memaklumkan, warkah menjunjung kasih tersebut diutus dan diserah kepada Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menjelaskan secara terperinci tujuan warkah ber­kenaan diutus kepada baginda.

Bagaimanapun, ia diperca­yai berkaitan kenyataan di­keluarkan beliau bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan pada 20 Februari lalu di portal berita partinya.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi, yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Baginda menzahirkan duka­cita itu menerusi satu surat yang diutus kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri bertarikh 27 Februari 2024.

Sultan Sharafuddin menegur Abdul Hadi supaya lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenya­taannya.

Hal demikian kerana kenya­taan dibuat beliau disifatkan cuba mempertikai tindakan Majlis Raja-Raja Melayu dan Sultan Selangor sendiri sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Muhamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin bertitah kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi bukan sahaja boleh mengelirukan, malah membawa kegelisahan yang menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, Abdul Hadi dikatakan membuat kenyataan secara terbuka dalam media sosial tanpa membaca secara menyeluruh dan mendalam titah baginda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Setiausaha Politik Abdul Hadi, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, polis sudah mengambil keterangan Presi­den Pas itu dalam pertemuan selama hampir satu jam di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur bermula pukul 2.19 petang semalam.

Katanya, Abdul Hadi telah dikemukakan beberapa soalan oleh pegawai penyiasat dan memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh itu.

“Soalan diberikan boleh tahan banyak juga, ada beberapa muka surat.

“Abdul Hadi juga sudah baca kenyataan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri (MDN) semalam yang akan wujudkan Pasukan Khas 3R (bangsa, agama dan raja), kita akan beri komitmen sepenuhnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Syahir berkata, Abdul Hadi kini berada dalam keadaan yang baik dan beliau ada menyatakan hasrat menghadiri Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 namun terhalang atas faktor kesihatan beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×