SHAH ALAM: Seramai 68,311 golongan asnaf yang terdiri daripada fakir, miskin dan mualaf diraikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menyambut Ramadan dan Syawal pada tahun ini.
Ketua keluarga dan individu penerima bakal menerima sumbangan sekitar RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM31.8 juta.
Ketua Pegawai Operasi (LZS), Ahmad Fadhil Hassan berkata, pihaknya akan melipatgandakan usaha menyantuni semua asnaf dan pengeluar zakat di negeri ini menjelang 1 Ramadan pada Selasa ini.
“Di LZS, bulan Ramadan juga merupakan bulan puncak kerana orang ramai lebih gemar memilih bulan ini sebagai tempoh cukup haul bagi mereka mengeluarkan zakat di samping dapat terus menunaikan zakat fitrah.
“Kami di LZS setiap tahun menjadikan Ramadan sebagai bulan utama dan didahulukan. Menjelang Ramadan, pelbagai usaha dilaksanakan oleh LZS untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada umat Islam terutamanya golongan asnaf.
“Bantuan disalurkan melalui tiga kaedah iaitu kredit ke akaun bank penerima atau ketua keluarga, V-Cash (baucer tunai) yang membolehkan penerima menuntut wang bantuan di cawangan Bank Islam atau secara tunai, khusus bagi kes-kes tertentu,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Bantuan Ramadan dan Hari Raya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Petalin merupakan daerah yang menempatkan penerima bantuan berkenaan paling ramai iaitu melibatkan 13,045 penerima dengan jumlah nilai RM6.2 juta.
Ia diikuti dengan Klang dan Hulu Langat masing-masing mempunyai 12,018 dan 9,953 penerima melibatkan jumlah bantuan RM5.5 juta serta RM4.7 juta. Sementara daerah paling kurang penerima adalah Sepang iaitu sebanyak 3,024 orang dan jumlah bantuan adalah RM1.5 juta.
“Bantuan Ramadan dan Raya merupakan sebahagian daripada pelbagai jenis bantuan yang diterima keluarga asnaf di Selangor sepanjang tahun. Bantuan bersifat sementara itu adalah sebagai persiapan kepada keluarga asnaf untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya.
“Semoga bantuan zakat yang diterima dapat memberikan keceriaan dalam menyambut ketibaan Ramadan dan Hari Raya. Inilah keberkatan kewajipan berzakat, bukan sahaja dapat membersihkan harta pada golongan berkemampuan, tetapi diutamakan adalah mereka yang kurang berkemampuan dapat merasai nikmat,” ujarnya. – UTUSAN










