KEPALA BATAS: Lebih 400 pengunjung Karnival Mahabbah @ Bertam Square: Iftar On The Road teruja apabila disajikan juadah kurma kepala kambing sebagai menu utama berbuka puasa di sini, kelmarin.
Rata-rata mereka yang ditemui mengakui pada mulanya agak terkejut apabila mengetahui hidangan tersebut, namun tidak sabar mencubanya kerana makanan itu yang disifatkan sebagai unik dan jarang dijumpai sebelum ini.
Bagi Azhari Abdul Majid, 44, dia ke karnival itu bersama keluarganya untuk ‘mencuci mata’ sahaja, namun akhirnya memilih berbuka puasa di situ secara beramai-ramai kerana makanan disediakan secara percuma selain tertarik dengan juadah yang disediakan.
“Saya memang penggemar daging kambing tetapi tidak pernah makan lagi kepala kambing. Alhamdulillah, berpeluang juga merasai makanan unik seperti ini,” kata bapa kepada tiga anak itu ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penganjur karnival, Zaini Aboo Hassan berkata, pihaknya menyediakan sehingga 150 juadah kurma kepala kambing yang dihidangkan dalam talam bersama nasi, telur rebus, kurma dan hirisan tembikai selain minuman untuk pengunjung yang berbuka puasa di situ.
“Iftar On The Road ini merupakan program wajib kami untuk karnival ini dan ia diadakan setiap hari sepanjang Ramadan ini secara percuma. Cumanya, menu hari ini (kelmarin) agak unik kerana kita menyediakan juadah kurma kepala kambing.
“Sebenarnya, idea untuk menyediakan hidangan ini timbul ketika kami berada di Masjidil Haram sebelum ini apabila melihat keseronokan berbuka puasa secara beramai-beramai (dengan menikmati juadah kepala kambing) di sana.
“Jadi, apabila pulang, kita cuba realisasikan perkara ini dengan ubah sedikit (jenis makanan) mengikut cita rasa rakyat Malaysia dan kita buat kurma kepala kambing. Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, hidangan kurma kepala kambing yang dimakan secara beramai-ramai ketika berbuka puasa itu mungkin yang pertama seumpamanya dilakukan di negara ini dan pihaknya gembira dapat menyediakan hidangan tersebut walaupun agak sukar pada permulaannya.
“Kita terpaksa buat tempahan khas selama sebulan sebab kambing-kambing ini kita kena sembelih dulu. Kita juga terpaksa tempah daripada banyak syarikat katering yang buat kambing golek atau kambing bakar ini iaitu hampir 30 pembekal. Untuk dapatkan (hidangan) 150 biji kepala kambing itu juga bukan senang dan proses keseluruhannya memakan masa hampir 24 jam,” katanya. – UTUSAN










