KUALA TERENGGANU: Seramai 12,914 orang bekerja sendiri di Terengganu telah mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sepanjang tahun lalu.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Farihah Che Husin, berkata, jumlah itu menunjukkan kenaikan 8.3 peratus daripada 11,842 orang yang mendaftar pada 2022.
Menurut beliau, pencarum terdiri daripada orang bekerja sendiri dalam pelbagai sektor tidak formal antaranya penjaja, usahawan, pekebun, penternak, nelayan, penghantar makanan serta atlet.
Katanya, bagi tahun 2024 Perkeso Terengganu menyasarkan peningkatan lebih 50 peratus atau 20,000 orang bekerja srndiri akan mendaftar di bawah SKSPS melalui SPS Padanan Caruman.
“Pada 2023, kerajaan membiayai 80 peratus daripada jumlah caruman penuh dan di Terengganu seramai 12,914 orang bekerja sendiri yang mendaftar di bawah SKSPS namun jumlah itu sebenarnya masih rendah.
“Dengan kadar pembiayaan baharu tahun ini iaitu 90 peratus dibiayai kerajaan dan hanya 10 peratus atau RM23.30 dibayar orang bekerja sendiri, kita sasarkan 20,000 akan mendapatkan perlindungan selama 12 bulan.
“Ini antara insentif ditawarkan kerajaan kepada 11 golongan sasaran seperti sektor agropertanian, orang asli, pendidikan, gig, penjaja, nelayan, kesenian, sukan dan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Program Khidmat Komuniti Masjid Bersama Agensi Kerajaan dan Hari Bertemu Pelanggan di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Kepong di sini, hari ini.
Farihah menjelaskan, program seumpama itu penting bagi mendekatkan jurang antara penduduk kampung dengan agensi kerajaan seperti Perkeso, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Terdapat pelbagai insentif atau kemudahan ditawarkan kerajaan dan Perkeso sebagai antara agensi pelaksana sentiasa turun padang bagi mendekati penduduk terutama di kawasan kampung,” tambah beliau. -UTUSAN










