SHAH ALAM: Seorang wanita menemui ajal selepas dipukul oleh anaknya sendiri dengan sepasang safety boot dan tukul besi dalam satu kejadian dekat Kampung Jawa, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 9.45 pagi dan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham.
“Siasatan polis mendapati mangsa merupakan perempuan berusia 56 tahun, seorang suri rumah dan tinggal bersama suami dan anak lelaki iaitu suspek dalam kes tersebut. Si mati berselisih faham dengan suspek yang memukulnya.
“Ketika kejadian suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau menambah, susulan laporan dan siasatan, polis kemudian membuat tangkapan ke atas suspek berusia 33 tahun dekat tempat kerjanya di Taman Sentosa, Klang kurang dua jam kemudian.
“Suspek bekerja sebagai tukang gunting rambut dan mempunyai dua rekod dadah serta satu jenayah. Hasil ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah jenis metamfetamin.
“Permohonan reman suspek akan dibuat esok pada pukul 9 pagi dekat Mahkamah Shah Alam. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara sehingga 30 hingga 40 tahun serta 12 kali sebatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Salwani Samsudin di talian 0132444234. – UTUSAN










