TKM I nafi dakwaan ketepi hak asnaf kawasan pembangkang

TKM I nafi dakwaan ketepi hak asnaf kawasan pembangkang

MOHAMAD ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid hari ini menafikan dakwaan bahawa hak asnaf yang tinggal di kawasan pembangkang telah diketepikan atas arahan beliau.

Sehubungan itu, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP) mendakwa, tohmahan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Muhammad Fauzi Yusoff dalam satu sidang akhbar semalam bukan sahaja berniat jahat, namun, bersifat fitnah.

“Hanya semata-mata agihan tidak dibuat melalui wakil pembangkang, ini bukan bermakna asnaf di kawasan berkenaan telah dinafikan hak mereka.

“Dalam hal ini, jelas, ketua pembangkang sedang ‘bermain politik’ dengan menanam api kesangsian dan kebencian bagi menjauhkan pembayar zakat daripada ZPP. Dalam kata lain, beliau cuba mensabotaj secara halus usaha profesional ZPP untuk membantu asnaf keluar daripada kemiskinan tegar,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhammad Fauzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua mendakwa, Mohamad cuba mengelak daripada memberi penjelasan mengapa tiada sebarang peruntukan di bawah skim bantuan zakat diberikan kepada wakil rakyat pembangkang pada tahun ini.

Menurut Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu, hal ini demikian kerana, hampir setiap tahun kedua-dua peruntukan tersebut iaitu untuk skim pakaian seragam sekolah dan hamper Nur Ramadan turut diberikan kepada wakil rakyat pembangkang sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, seramai 20,000 murid negeri ini akan menerima pakaian seragam sekolah, membabitkan sumbangan zakat sebanyak RM3 juta melalui program ‘Back to School’ yang akan dilancarkan pada 3 Mac ini di pusat beli belah Sunshine Square Bayan Baru.

“Program Nur Ramadan berupa sumbangan hamper e-tunai pula melibatkan seramai 15,654 asnaf dengan sumbangan berjumlah RM1.56 juta daripada sumber zakat. Jadi, sebagai persiapan menyambut Ramadan, penerima boleh menebus barangan dapur bernilai RM100 di kedai atau pasaraya terpilih hanya menggunakan kad pengenalan tanpa tunai,” katanya.

Tambah beliau, agihan zakat bagi skim pakaian seragam dan hamper Nur Ramadan tetap diperuntukkan kepada kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun), melalui Pusat Khidmat Kadun Kerajaan, Penyelaras Kadun, Ahli Majlis Agama Islam (MAINPP) dan Ahli Lembaga Pengarah ZPP serta pihak sekolah. 

Katanya, semua permohonan dibuat secara atas talian dan segala keputusan berhubung agihan zakat yang melibatkan amaun yang besar adalah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah ZPP bagi memastikan tiada pihak yang akan terpinggir dalam agihan zakat bagi skim ini dan skim-skim yang lain selama ini.

“Selaku Timbalan Ketua Menteri I yang juga Exco Pembangunan Agama Islam negeri, saya akan memastikan bahawa tiada asnaf yang layak menerima zakat diketepikan daripada menerima skim-skim agihan zakat yang ditawarkan oleh ZPP.

“Saya juga akan pastikan MAINPP dan ZPP yang merupakan agensi kerajaan negeri Pulau Pinang ditadbir urus melalui tatakelola yang baik bagi menjaga kepentingan dan keseimbangan sosio-ekonomi masyarakat Islam di Pulau Pinang,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×