KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengisytiharkan hari Ahad sebagai Hari Batik bagi penjawat awam dan seluruh penduduk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah tersebut bertujuan mempromosikan lagi industri batik di peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, etika pemakaian itu tidak terhad kepada penjawat awam sebaliknya pekerja sektor swasta, usahawan dan yang bekerja sendiri turut digalakkan berpakaian batik hari berkenaan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri masih mengekalkan arahan wajib berpakaian batik bagi penjawat awam pada hari Khamis.
“Dengan pengisytiharan ini, seluruh penduduk di Terengganu sama ada kakitangan kerajaan, pekerja sektor swasta atau peniaga digalakkan berpakaian batik setiap hari Ahad.
“Arahan bagi penjawat awam yang wajib berpakaian batik pada Khamis pula masih diteruskan seperti yang diguna pakai sebelum ini.
“Inisiatif ini diharap menjadi medium mempromosikan industri penghasilan batik Terengganu,” katanya selepas merasmikan Karnival Beautiful Terengganu di Dataran Shahbandar di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Razali memberitahu, lebih 150,000 pengunjung dijangka hadir pada karnival tersebut sekaligus merancakkan semula industri pelancongan domestik.
Beliau berkata, karnival itu menawarkan pelbagai aktiviti antaranya jualan pakej pelancongan, jualan produk serta persembahan kebudayaan dan kesenian.
“Karnival ini merupakan salah satu daripada 74 program pelancongan dan kebudayaan dalam kalendar acara yang akan diadakan di seluruh negeri Terengganu sepanjang tahun 2024.
“Ini adalah antara langkah kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan bagi memastikan sasaran kemasukan pelancong 4.5 juta orang tahun ini dapat dicapai berbanding 3.5 juta pada 2023,” ujarnya. – UTUSAN










