BANGKOK: Hujan lebat mengorbankan lapan orang di Thailand sejak pertengahan September, menurut kerajaan pada Isnin ketika Bangkok berdepan banjir untuk hari keempat berturut-turut.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lapan lagi disahkan maut di negara jiran, Myanmar.
Mangsa di Thailand direkodkan di tiga wilayah di timur negara itu sejak 16 September, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, tanpa kematian dilaporkan di ibu negara.
Lebih 500,000 isi rumah dan 1.7 juta penduduk di 27 wilayah terjejas akibat banjir di Thailand selepas sistem cuaca buruk melanda rantau berkenaan, menurut jabatan itu.
Di Bangkok, sekolah ditutup dan pihak berkuasa menggesa orang ramai bekerja dari rumah jika boleh, seruan yang dipatuhi ramai penduduk, menyebabkan jalan raya serta rangkaian pengangkutan awam kelihatan lebih lengang.
Lebih 80,000 penduduk tidak dapat keluar dari rumah mereka pada Isnin, menurut Kementerian Dalam Negeri, termasuk penghuni sebuah kompleks pangsapuri di daerah Bang Kapi di timur Bangkok.
“Kami tidak boleh keluar. Paras air terlalu tinggi bagi orang yang tinggi, air boleh mencecah paras leher,” kata Suranee Panoh, pengurus sebuah rumah pangsa di kompleks itu, kepada AFP.
Bekalan elektrik terputus sejak air melimpah masuk pada awal pagi Sabtu, menenggelamkan kawasan parkir dan menjadikan halaman tengah kompleks itu seperti tasik yang dipenuhi sampah terapung.
“Ia sangat sukar,” kata Suranee, 32.
Tanpa bekalan air paip, penduduk meletakkan baldi plastik di luar untuk menadah air hujan yang digunakan bagi mencuci.
Yanika Luangcharoen, 44, yang tinggal di situ bersama ibu bapanya dan dua ekor kucing, berkata, mereka bergantung kepada bantuan makanan dan menggunakan lilin sebagai sumber cahaya.
“Kami langsung tidak bersedia. Kami hanya tahu hujan akan turun, tetapi tiada amaran diberikan sama sekali,” katanya kepada wartawan AFP yang datang dengan bot.
“Saya tidak pernah menyangka akan menjadi mangsa banjir. Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini,” katanya, sambil menambah bahawa ketika banjir dahsyat pada 2011, mereka tidak terjejas.
Namun, tanda-tanda kehidupan kembali kelihatan di kawasan lain pada Isnin apabila peniaga mula membuka gerai di sebatang jalan yang bertukar menjadi sungai berlumpur.
Pembeli bergerak menggunakan bot atau menolak troli membeli-belah meredah air banjir, manakala seorang pembeli menarik kolam renang kembung yang digunakannya untuk memastikan barangan yang dibeli kekal kering.
Di negara jiran Myanmar, pasukan penyelamat berkata, banjir besar dan tanah runtuh di wilayah Tanintharyi di selatan negara itu meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa, manakala sehingga 30 lagi masih hilang.
Tiga daripada mayat yang ditemukan ialah remaja yang berkumpul di sebuah biara tempatan pada Ahad.
Mereka dihanyutkan tanah runtuh yang melanda kampung mereka dan menimbus 18 bangunan, menurut sukarelawan tempatan, Hein Htet, di perbandaran Launglon.
“Masih terdapat penduduk dan kampung yang berada di zon bahaya dengan hujan yang terus turun,” katanya.
Perang saudara di Myanmar sering menyukarkan organisasi kemanusiaan menilai skala sebenar bencana alam, selain merumitkan usaha bantuan.
“Kami bukan sahaja berdepan dengan skala banjir yang besar, tetapi juga kekurangan sumber. Ini adalah bencana alam yang berlaku di kawasan konflik,” kata Hein Htet. – AFP











