IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian terhadap projek naik taraf dan pembesaran Hospital Kuala Kangsar seperti mana yang diumumkan menerusi Belanjawan 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadap baginda selepas perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
“Ada sedikit perbincangan bersama Tuanku Sultan di mana baginda telah minta kita untuk beri perhatian kepada pembesaran Hospital Kuala Kangsar.
“Pihak kementerian akan buat tindakan susulan ekoran projek ini atas janji yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2023,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam ucapan Belanjawan 2023 pada Februari tahun lalu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM36.3 bilion untuk sektor kesihatan.
Melalui peruntukan ini, kerajaan akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad.
Menurut beliau, projek berkenaan dalam proses tender sebelum peringkat kerja seterusnya dimulakan.
“Ketua Setiausaha KKM akan membuat susulan dengan teliti berkaitan perkara ini dan saya sendiri juga akan pastikan perkara ini akan saya pantau,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan beliau memberitahu, pihak kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi perolehan 250 set katil baharu untuk HRPB.
Katanya, perolehan katil baharu itu bagi menampung keperluan katil di hospital berkenaan selain menggantikan katil lama yang telah uzur.
“Kapasiti katil di hospital ini sebanyak 1,394 unit termasuk penambahan 404 katil di Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi,” katanya. – UTUSAN










