Selari kenaikan harga beras dan belian padi

Selari kenaikan harga beras dan belian padi

Penarikan subsidi diesel menyebabkan kenaikan kos dalam penanaman padi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kenaikan harga beras perlu selari dengan kenaikan harga belian padi supaya wujud situasi menang-menang antara pesawah dengan pengilang.

Justeru, pesawah menggesa kerajaan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 ke RM1,600 bagi satu tan metrik untuk memberi sedikit ‘nyawa’ kepada golongan petani yang terus terkesan.

Kata mereka, apabila berlaku kenaikan harga beras, ada kemungkinan kos input pertanian dan upah jentera juga akan mengalami kenaikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, kerajaan perlu menyemak harga lantai padi RM1,300 ketika ini untuk dinaikkan kepada RM1,500 atau RM1,600 agar merekanturut sama mendapat manfaat.

Menurut beliau, pada masa ini, kos upah jentera seperti me­sin sudah naik daripada RM130 kepada RM150 bagi keluasan 0.3 hektar dan berkemungkinan selepas ini akan terus meningkat kesan daripada kenaikan harga beras yang tidak menguntungkan petani.

Kata beliau, hal demikian ke­rana, kesan kenaikan harga beras yang tidak diselarikan dengan peningkatan harga belian padi akan berkait dengan semua termasuk kos jentera, input pertanian, upah dan sebagainya.

“Sepatutnya jika keputusan menaikkan harga beras itu berlaku perlu memberi manfaat kepada bukan sahaja pengilang atau pemborong sebaliknya kepada pesawah yang lebih banyak bersusah-payah dan menderita mengusahakan tanaman.

“Sepatutnya adil kepada kedua-dua pihak (pesawah dan pengilang) apabila naik harga beras, perlu juga dinaikkan harga belian padi. Jika harga siling belian padi dinaikkan kepada RM1,500 termasuk subsidi RM500 menjadikan RM2,000 ia akan memberi sedikit nafas kepada pesawah.

“Tak wajar naik harga beras tetapi tidak naikkan harga padi. Kerajaan perlu melihat situasi ini di mana pesawah yang berusaha keras mengusahakan tanaman padi ini sepatutnya diberikan lebih perhatian,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, kerajaan belum membuat sebarang ketetapan susulan cadangan mewujudkan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.

Ia sebagaimana cadangan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari lalu, sehingga mengundang kekeliruan orang ramai.

Pada 14 Februari lalu, Syed Abu Hussin mengumumkan kerajaan memperkenal Beras Putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) bermula 19 Februari ini.

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan, langkah menyelaraskan harga beras tempatan dan import dengan harga RM30 hingga RM33 setiap 10 kg bakal membendung isu penipuan dan manipulasi sekali gus menyelesaikan masalah bekalan makanan ruji tersebut.

Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman dilaporkan berkata, kenaikan dari RM26 ke RM30 hingga RM33 bagi berat 10 kg itu juga sudah tiba masanya dilaksanakan selepas 18 tahun harga beras tidak naik sejak 2006.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Mohd. Nazri Subuh,48, berkata, apabila harga beras naik ia turut memberi kesan kepada kenaikan kos input pertanian dan sebagainya sekali gus akan terus membebankan golongan pesawah.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan turut menaikkan harga lantai belian padi dengan sekurang-kurangnya RM1,500 satu tan metrik.

Ujarnya, kos mengusahakan tanaman padi pada masa ini bukannya murah dengan sekitar RM3,500 perhektar dan kos berkenaan dijangka terus meningkat selepas ini.

“Bagi memberi keadilan kepada pesawah, kerajaan hanya perlu naikkan harga lantai belian padi ini. Bila harga beras naik, hanya untungkan pengilang manakala pesawah tidak untung apa-apa.

“Kita bukan tidak setuju harga beras naik namun sebaik-baiknya biarlah disekalikan dengan kenaikan harga belian padi. Bagi memberi keuntungan kepada dua-dua pihak, kerajaan perlu menyemak harga lantai belian padi dengan menaikkan kepada RM1,500.

“Kenaikan harga beras memanglah munasabah tetapi mengapa harga belian padi oleh pengilang pula tidak naik. Ia perlu diberikan perhatian agar pesawah juga mendapat manfaat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×