GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk membantu keluarga anggota bomba, Allahyarham Mohd Izwan Illias, 42, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika sedang menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mak Mandin, kelmarin.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehubungan itu, pihaknya akan berhubung dengan JBPM negeri bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan dalam usaha meringankan beban keluarga kepada anggota bomba berkenaan.
“Saya akan minta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk membuat koordinasi dengan pihak bomba bagi menyampaikan bantuan awal kepada balu Allahyarham (Mohd Izwan) terlebih dahulu.
“Sekiranya ada bantuan lain diperlukan, kita boleh uruskan secara bersama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gelugor di sini, hari ini.
Tambah Kon Yeow, pihaknya juga bersedia mempertimbangkan untuk memberi sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara sewaan jika ada permintaan daripada pihak JBPM mahupun keluarga Mohd Izwan sendiri.
Buat masa ini katanya, beliau masih belum dihubungi oleh mana-mana pihak berkaitan untuk tujuan itu, namun, sedia bekerjasama untuk membantu.
Semalam, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya akan berkoordinasi dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi melihat dari aspek kebajikan keluarga yang ditinggalkan Mohd Izwan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam Khamis itu, Mohd Izwan yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan enjin bot di jeti berkenaan.
Mayat Mohd Izwan dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 5.32 petang semalam selepas 19 jam operasi dijalankan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Jamaliah Abd Majid, 42, dan lima anak berusia antara empat hingga 16 tahun.-UTUSAN










