SEREMBAN: Isu ketiadaan beras tempatan di pasaran tidak dapat dinafikan malah aplikasi mudah alih Price Catcher yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga didapati tidak lagi mempamerkan perbandingan di antara harga beras tempatan di pasaran.
Pemerhatian Utusan Malaysia semalam menerusi aplikasi berkenaan juga mendapati tiada data harga untuk untuk dua jenama beras putih tempatan (SST) diperoleh apabila pencarian dilakukan mengikut kategori bagi seluruh daerah di negeri ini.
Keadaan tersebut bukan hanya berlaku ketika ini, namun sudah berlarutan sejak ketiadaan bekalan beras tempatan pada tahun lalu.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan ketika dihubungi turut mengesahkan ketiadaan data perbandingan harga untuk beras tempatan di aplikasi berkenaan.
Menurut beliau, ketiadaan perbandingan harga itu dikesan selepas Pegawai Pemantau Harga KPDN yang ditugaskan mendapati tiada bekalan beras tempatan di pasaran.
Price Catcher adalah aplikasi mudah alih yang memaparkan perbandingan harga lebih 400 barangan keperluan pengguna.
Ia dibangunkan bagi membantu pengguna menjimatkan masa masa dan kos untuk membuat perbandingan harga seterusnya dapat merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan.
Antara ciri yang dimiliki aplikasi ini adalah carian mengikut kategori, lokasi atau perkataan, fungsi mengesan lokasi, perbandingan harga berdasarkan item serta pandu arah ke arah premis pilihan.
Sementara itu, Pegawai Komunikasi Persatuan Pelindung Pengguna Negeri Sembilan, A. Vijayakumaran berkata, isu ketiadaan bekalan beras tempatan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana rakyat sudah beberapa bulan mengeluarkan lebih belanja untuk membeli beras import.
“Saya sendiri keliru apa sebenarnya yang berlaku sehingga bekalan beras tempatan tidak mencukupi di pasaran. Jika isunya adalah bekalan, kerajaan mesti berikan tumpuan untuk pastikan bekalan beras tempatan berada di pasaran,” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kesukaran menemui beras tempatan berlaku angkara kartel.
Menurut beliau, ada pihak dalam industri beras atau kartel dipercayai cuba mengaut keuntungan daripada beras putih tempatan yang selama ini dijual pada harga RM26.
Bagaimanapun, kata Syed Abu Hussin, disebabkan mahu untung, banyak beras tempatan itu ditukar label menjadi beras import dan dijual sehingga RM40 ke RM45 bagi 10kg. – UTUSAN










