Pinda undang-undang elak kelompongan bidang kuasa negeri 

Pinda undang-undang elak kelompongan bidang kuasa kerajaan negeri 

MUHAMAD HISHAM MARZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan digesa membuat pindaan sewajarnya bagi mengelakkan kelompongan dalam bidang kuasa kerajaan negeri untuk menggubal undang-undangnya.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki membuat gesaan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuat kuasa di negeri itu.

Muhamad Hisham berkata, keputusan mahkamah jelas menunjukkan ia memberi impak besar kepada kuasa kerajaan negeri, selepas cabaran dikemukakan berhubung penafsiran kuasa dalam menggubal undang-undang jenayah di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menggesa kerajaan melalui cabang legislatif melakukan tindakan segera meminda undang-undang bagi memastikan kuasa negeri dapat dikekal dan atau ditambah baik dalam hal ehwal agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Hisham menggesa tindakan lebih berkesan oleh Jawatankuasa Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dalam memberi syor terbaik kepada kerajaan.

“Ini bagi memastikan tiada pertindihan kuasa negeri berkenaan hal ehwal Islam.

“Syor-syor ini diharap memberi manfaat kepada umat Islam dalam mengamalkan ajaran Islam dan dilaksana segera serta menutup ruang cabaran undang-undang seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.

Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah melibatkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

Panel itu membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukan tersebut.

Mahkamah tertinggi negara turut memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang diperikaikan itu kerana ia merupakan bidang kuasa Parlimen.

Hakim Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu berkata, badan berkenaan melangkaui kuasa Parlimen ketika menggubal 16 peruntukan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini