TIDAK mudah sama sekali untuk pelakon cantik ini melontarkan bait-bait kata yang membentuk satu jawapan.
Kesukarannya bukan dalam menyusun bicara tetapi menenangkan gejolak emosi dalam diri sendiri.
Keputusan untuk menamatkan trivia cinta yang terbina sejak 2017 juga bukan sesuatu yang ringkas untuk diceritakan.
Dia lebih memilih untuk enggan. Ada cerita yang disimpan sendiri. Yang berlaku, biarlah berlalu.
Merentasi garis masa media sosialnya, perkongsian Mawar Rashid ketika ini ibarat dipenuhi bunga-bunga baharu bercambah. Seakan dia kini bebas bernafas semula, selepas lelah dalam bertahan.
“Mungkin kita kena buka fikiran, perceraian kini bukan penamat kehidupan. Anggap itu babak hidup yang ditutup. Perceraian juga bukan satu tragedi, sebaliknya tragedi adalah jika anda hidup dalam rumah tangga yang tidak bahagia.
“Sekarang tiba masa untuk babak baharu dalam hidup saya. Orang takut nak umum perceraian, sebab masyarakat akan pandang negatif. Keputusan ini memerlukan kekuatan untuk bawa diri keluar daripada sesuatu yang tidak layak untuk anda.
“Dan untuk itu, saya bangga dengan diri sendiri. Bagaimana saya mengumpul kekuatan, menggali dalam mencari siapa diri saya yang sebenarnya. Apa yang berlaku, sebab dan akibat, biar kami yang tahu,” ujarnya.

Lantas saya lontarkan soalan yang kerap ditanya kepada mereka yang sedang berjuang dalam kehidupan; Adakah anda gembira dengan pilihan dan keputusan? Adakah anda sedang memeluk kebahagiaan?
Sebelum jawapan dihulur, senyuman manis di bibir pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid terlebih dahulu ditangkap mata. Kebahagiaan yang jelas terlihat daripada relung matanya.
“Alhamdulillah, lebih baik daripada sebelumnya. Saya gembira. Saya masih ingat ketika jiwa sedang berperang dalam satu fasa yang melelahkan. Paling penting, jaga mental anda. Dapatkan rawatan.
“Pastikan kesihatan anda baik. Alhamdulillah, sekarang doktor maklumkan kesihatan mental saya dalam keadaan baik. Saya kembali memeluk diri sendiri dengan suka cita dan bahagianya,” katanya.
Bagaimana pula dengan anak-anak? Mereka yang selama ini menjadi kekuatan Mawar? Adakah mereka di bawah penjagaan pelakon itu selepas dia dan bekas suami, Raf Yaakob memilih berpisah pada November tahun lalu?
“Anak-anak di bawah jagaan saya. Dulu mereka selalu menangis cari ayah tetapi sekarang tidak lagi. Saya jelaskan dengan cara baik, ayah mereka pergi kerja. Anak-anak masih kecil, tidak faham.
“Sampai masa, mereka akan tahu apa yang terjadi antara kami.Saya banyak belajar dengan melihat dua anak tiri saya sebelum ini,” ujar pemegang trofi Pelakon Filem Paling Popular 2020 itu.

LAKONAN DAN PERNIAGAAN
ADA berita yang mahu diumumkan Mawar. Bukan cinta baharu, itu dia tidak mahu ulas. Soalan itu dipadam awal.
Dia ketika ini mahu mencintai diri sendiri. Selepas beberapa tahun tidak aktif dan memfokuskan sebuah drama setahun sahaja, Mawar akan kembali ke dunia lakonan. Tawaran tidak putus diterima, namun yang terbaik sedang diteliti.
“Sebelum ini saya ambil tawaran satu atau dua drama setahun. Adakala, telemovie sahaja. Lebih fokus keluarga dan perniagaan. Tetapi tahun ini, tiba masa untuk teruskan cinta pertama saya, dunia seni.
“Ada beberapa tawaran, sedang dipilih. Walaupun kembali solo, masih ada perkara yang harus diteliti. Rindu untuk kembali mewarnai dunia seni ini,” katanya.
Membuka bicara tentang perniagaan pula, aktres yang berkebolehan bercakap dalam tiga bahasa, Melayu, Inggeris dan Siam itu juga bakal mengembangkan lagi jenama Mawarose.
“Saya mahu melengkapkan jenama itu dalam sektor kosmetik dan buka langkah dalam dunia penjagaan wajah. Saya akan terus bantu penjual Mawarose untuk jana pendapatan,” ujarnya.

SEKAT DAN TERUSKAN HIDUP
MELANGKAH melalui episod gelap dalam hidupnya, pasti kecaman adalah makanan harian.
Apatah lagi selepas aktres berusia 29 tahun ini juga membuat keputusan untuk tidak lagi berhijab.
Dia seolah-olah menjadi sasaran segelintir warganet yang melepaskan emosi kehidupan mereka sendiri di ruangan komen.
Mawar dikecam, dihina dan dilontarkan dengan kata-kata yang pedih untuk ditelan.
“Saya mudah sahaja, jangan baca. Pengurus media sosial saya akan sekat dan padam mana-mana akaun yang meninggalkan komen berbentuk kecaman, penghinaan dan melampau.
“Tidak perlu saya bebankan pemikiran saya melayan provokasi daripada segelintir warganet yang seolah-olah serba tahu dan tidur sebantal dengan saya. Lebih-lebih lagi ketika jiwa saya sendiri sedang berperang,” ujarnya.
Langsung, di mana dia berpaut mengharap sokongan? Di manakah emosi lara yang sedang menyelimuti hati ketika itu disandarkan? Adakah dia hanya memeluk diri seorang, memujuk hati sendiri?
“Jujurnya, kita manusia memerlukan sokongan. Tuhan memang selalu ada, itu saya yakin. Tetapi pada masa sama, saya bersyukur keluarga, sahabat sentiasa di sisi. Menjadi pendengar, pemujuk hati.
“Saya juga pesan kepada diri sendiri, fokus untuk tambah baik kualiti hidup dengan cara sendiri. Buat perkara yang menggembirakan dan menyihatkan mental serta fizikal. Fokus kepada apa yang penting dalam hidup.
“Tetapi apa yang berlaku, sebab semua itu, lebih baik saya simpan sendiri. Terlalu peribadi untuk saya kongsi. Hanya doa yang baik-baik saya harapkan daripada kalian semua. Terima kasih,” kongsinya.









