PETALING JAYA: Pembangkang akan memohon menghadap dan menyerahkan memorandum khas kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), berhubung kes 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang terbatal dan tidak sah.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, permohonan menghadap dan serahan memorandum itu akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Menjadi keperluan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memperkasa undang-undang syariah terutama berkaitan hak menganut dan mengamal majoriti rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Kami menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja tanpa dibatasi sempadan politik bagi menjayakan hasrat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Larut itu berkata, keputusan petisyen yang tidak memihak kepada badan perundangan negeri Kelantan menyentuh perasaan seluruh umat Islam.
“Perkembangan ini memperlihat ada kelompongan serius dalam kuasa serta bidang kuasa berkaitan hak menganut dan mengamal majoriti rakyat Malaysia.
“Kesan keputusan ini akan menggugat enakmen jenayah syariah di seluruh negeri dalam negara dan berisiko dibatal. Keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu,” katanya.
Mahkamah Persekutuan pagi tadi mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.
Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.
Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah melibatkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.
Panel itu membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukan tersebut.
Mahkamah tertinggi negara turut memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang diperikai itu kerana ia merupakan bidang kuasa Parlimen.
Hakim Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu berkata, badan berkenaan melangkaui kuasa Parlimen ketika menggubal 16 peruntukan tersebut.
Hakim Tengku Maimun menegaskan, petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina dan anaknya tiada kena mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan mahkamah syariah di negara ini.
Beliau menjelaskan, pihak yang mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dan mahkamah sivil yang membenarkan petisyen mereka, tidak boleh dianggap menentang Allah SWT.
Pada hemat beliau, peruntukan yang dipertikai itu bukan ditetapkan oleh Allah SWT, sebaliknya digubal oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan. – UTUSAN










