Pelupusan sampah haram: Pemilik tanah dikenakan Notis 7A - Utusan Malaysia

Pelupusan sampah haram: Pemilik tanah dikenakan Notis 7A

Sampah haram
NG Suee Lim bersama agensi kerajaan negeri dan wakil penduduk meninjau tapak pelupusan sampah haram seluas hampir empat hektar dekat Batu 14, Kapar di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pemilik-pemilik di kawasan seluas hampir empat hektar dekat Batu 14, Kapar yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram diberikan Notis 7A Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 supaya memulihkan tanah mereka kepada keadaan asal.

Antara pemilik tanah tersebut termasuklah Sime Darby dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila lot milik syarikat itu dijadikan tapak pelupusan sisa industri seperti plastik dan kabel yang membelenggu penduduk sekitar kerana kerap berlaku kebakaran.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, masalah tersebut dikesan pihak berkuasa pada 2021, namun ketika itu longgokan sudah pun terlalu banyak sebelum sekatan pada laluan masuk ke kawasan berkenaan dibuat.

“Kawasan tersebut seluas dua hingga empat hektar mengandungi lima lot tanah individu termasuk TNB dan Sime Darby. Sisa-sisa yang dibuang seperti kabel, plastik barang-barang daripada industri dan sekarang kita berjaya kawal tak masuk.

“Tetapi, isu yang masih belum dapat diatasi adalah kebakaran. Mereka bakar dan sebagainya dan sekarang masuk musim cuaca panas, jadi ia akan terbakar dengan lebih kerap,” katanya selepas meninjau tapak tersebut, hari ini.

Beliau menambah, kewujudan tapak tersebut menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos pengeluaran sampah dan pada tahun lalu lebih 700 tan sampah dikeluarkan dengan bantuan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tapak pelupusan sampah yang terletak berdekatan Kampung Jalan Suara berhampiran Kampung Sungai Serdang itu dianggap sebagai terbesar di Asia Tenggara oleh pemerhati alam sekitar dari Jerman.

Malah, turut dilaporkan, lebih 300,000 penduduk di berhampiran Batu 14, di sini, dibelenggu derita menghidu asap busuk dari sebuah tapak pelupusan sampah haram di kawasan itu yang dianggap seperti ‘gunung’ sejak 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, Suee Lim memaklumkan kerajaan negeri akan menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi mengatasi masalah kewujudan pelupusan sampah haram di negeri ini.

Menurutnya, ratifikasi tersebut membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pelaku yang membuang sampah sampah secara haram iaitu penjara dua tahun dan denda sehingga RM1 juta berbanding sekarang denda RM1,000.

“Antara penyelesaian yang saya nampak hari ini,  penguatkuasaan undang-undang yang kita ada terlalu sedikit, iaitu mengenakan denda RM1,000. Jumlah itu tidak menakutkan orang, lori kena tahan sebulan sahaja boleh lepas.

“Di bawah undang-undang itu, denda lebih RM100,000, penjara dua tahun. Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pun beritahu, mereka akan pinda lagi dalam masa terdekat supaya hukuman dijadikan lebih berat dan kompaun itu lebih RM500,000 ke RM1 juta. Lori yang disita pun tak boleh ditebus semula,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN