JERANTUT: Memetik pucuk paku dan memasak gulai asam rong ikan kenerak Sungai Tembeling antara tarikan baharu pakej pelancongan ke Kampung Gusai dan Jeram Perahu, Ulu Tembeling di sini.
Sejak musim tengkujuh berakhir, ramai pelawat domestik dan pelancong luar datang melawat perkampungan Melayu Ulu Tembeling bukan sahaja memperoleh pengalaman baharu memasak makanan tempatan malah dapat melawat Jeram Perahu sambil memancing ikan liar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Pemasaran Ismail Travel & Tours Sdn. Bhd. Kuala Tahan, Abdullah Chik berkata, pengusaha pelancongan di situ memberi pengalaman baharu kepada pengunjung memetik pucuk paku di tepi Sungai Sepia berdekatan Kampung Gusai untuk memasak sendiri makanan tempatan penduduk di situ, iaitu gulai asam rong dicampur pucuk paku dan ikan kenerak.
“Pengunjung akan memasak di tepi Sungai Sepia di Kampung Gusai atau Jeram Perahu dan mereka juga akan diberikan tunjuk ajar oleh penduduk tempatan ketika memasak sehingga makanan ini siap dan boleh dibawa berkelah di tepi sungai.
“Kita sajikan pengalaman yang menarik kepada pengunjung yang pernah atau belum pernah ke sini serta pada masa sama dapat memperkenalkan masakan tempatan penduduk Ulu Tembeling yang sedikit berbeza dengan juadah di luar,” katanya di Kampung Gusai, kira-kira 140 kilometer di sini semalam.
Menurut Abdullah, sehingga awal tahun ini, syarikat tersebut sudah mengendalikan lawatan antara 80 hingga 100 pelawat domestik dan pelancong luar ke Kuala Tahan termasuk Kampung Gusai dan Jeram Perahu di Ulu Tembeling.
Katanya, pengunjung berpeluang memetik tumbuhan dan ulam-ulaman serta mencuba memasak gulai asam rong isi biji getah dan buah perah berasaskan entiti masakan penduduk Ulu Tembeling selain menikmati keunikan budaya dan kesenian masyarakat Melayu di situ.
“Selepas musim tengkujuh berlalu, keadaan cuaca baik membolehkan kami menerima banyak pelawat domestik dan pelancong luar terutamanya dari negara Eropah untuk melawat ke Ulu Tembeling dan boleh dikatakan setiap minggu ada pakej lawatan dikendalikan oleh syarikat ini,” katanya. – UTUSAN










