Md. Raus digesa tarik diri Pengerusi RCI Batu Puteh - Peguam

Md. Raus digesa tarik diri Pengerusi RCI Batu Puteh – Peguam

TUN MD. RAUS SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, didakwa mempunyai konflik kepentingan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menggesa supaya Md. Raus menarik diri dari kedudukan itu dan kerajaan harus mengganti Pengerusi RCI dengan seseorang yang tidak berkonflik kepentingan.

Katanya, RCI bagi kes Batu Puteh adalah berkaitan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 31 Jun 2018, untuk menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusannya pada 23 Mei 2008 yang mana Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri ketika keputusan itu dibuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, katanya, Dr. Mahathir mungkin meminggirkan atau tidak menyertai siasatan dijalankan RCI berkaitan kes itu selagi ia dipengerusikan Md. Raus atas konflik kepentingan yang tercetus.

“Sesuatu RCI itu wajar dilihat bersih dan tidak memihak supaya orang awam tidak akan mempersoal kewibawaan dapatan RCI. Namun, pelantikan Md. Raus sebagai Pengerusi mewujudkan satu bahaya bias yang akan mencemar keseluruhan prosiding,” katanya dalam kenyataan semalam.

Muhammad Rafique beralasan, terdapat isu antara Dr. Mahathir dan Md. Raus yang mana bekas ahli Parlimen Langkawi itu memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi mencabar keabsahan pelantikan Raus sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana, katanya, Raus mencapai usia 66 tahun dan enam bulan (rujuk Tun Dr Mahathir bin Mohamad v Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak & Ors [2018] 8 MLJ 297).

“Pada 15 Mei 2018, Raus bertemu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu untuk menyatakan hasrat meletak jawatan Ketua Hakim Negara. Raus kemudiannya mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 yang mana diperkenan baginda pada 11 Jun 2018.

“Oleh itu, sekiranya kerajaan tidak mengganti Pengerusi RCI atau Md. Raus tidak menarik diri, maka, kami tiada pilihan kecuali menasihati Dr. Mahathir untuk tidak menyertai (siasatan) RCI tersebut,” katanya.

Pada Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik Md. Raus sebagai Pengerusi RCI, beserta enam individu bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menghadap dan menyembah maklum Seri Paduka berhubung perkara tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesai dengan penglibatan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura.

Pada Disember tahun lalu, Anwar meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura melibatkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang diserah kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Idrus pada Januari 2023, memaklumkan kerajaan berpendapat tindakan menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.

Katanya, keputusan kerajaan itu adalah berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023, susulan Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (Pasukan Petugas Khas) yang dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada 27 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, penyelidik Asian Institute Of International Affairs and Diplomacy (AHAD), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, penubuhan RCI itu hanya sia-sia kerana Batu Puteh sudah menjadi milik Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×