Mappim, Gapena gagal cabar bahasa Mandarin, Tamil dan sekolah vernakular

Mappim, Gapena gagal cabar bahasa Mandarin, Tamil dan sekolah vernakular

SEBAHAGIAN pihak berkepentingan hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengikuti permohonan kebenaran merayu dua NGO berhubung isu bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gagal segala usaha di Mahkamah Persekutuan semalam untuk merayu berkaitan isu sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar yang diisytiharkan sah di sisi undang-undang.

Isu sekolah vernakular dan kedua-dua bahasa itu tidak pernah dicabar melalui tindakan sivil di mahkamah tertinggi negara semenjak kemerdekaan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mary Lim Thiam Suan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak permohonan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) untuk mendapat kebenaran merayu.

Hakim Mary Lim dan Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan itu manakala Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mencapai keputusan menentang.

Ketika membacakan keputusan majoriti, Hakim Mary Lim berkata, mahkamah tidak perlu menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 96(b) Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 untuk memberi kebenaran berhubung persoalan perlembagaan yang dikemukakan oleh pemohon.

“Sekiranya perkara ini dihujahkan, mahkamah berpandangan bahawa syarat di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, juga tidak dapat dipenuhi. Permohonan kebenaran merayu ditolak tanpa kos,” kata Hakim Mary Lim.

Pada asalnya, kedua-dua NGO itu mengemukakan lapan persoalan iaitu enam persoalan perlembagaan dan dua persoalan undang-undang dalam permohonan tersebut. Bagaimanapun, persoalan itu kemudian dipinda dan hanya satu dikemukakan kepada panel bersidang.

Persoalan itu adalah sama ada bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah vernakular yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, 17, dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), merupakan urusan rasmi.

Justeru, ia tertakluk kepada kewajipan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan untuk semua urusan rasmi.

Pada 23 November 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan sekolah vernakular di negara ini boleh terus beroperasi manakala penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan, sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian memutuskan demikian ketika menolak rayuan Mohd. Zai Mustafa bagi pihak Mappim manakala tiga yang lain ialah Gapena, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Hakim Supang yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan berpuas hati sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang lain daripada bahasa Melayu, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan semalam, Isma dan i-Guru tidak mengemukakan permohonan kebenaran merayu.

Seramai 12 responden terlibat dalam permohonan itu, sepuluh daripadanya termasuk Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia mengemukakan bantahan.

Responden antaranya termasuk Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN