DUNGUN: Meskipun banjir telah surut sepenuhnya sejak Sabtu lalu, namun mangsa banjir di Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja, dekat sini, masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka masih dipenuhi lumpur.
Tinjauan di kawasan Hulu Dungun mendapati kerja-kerja pembersihan lumpur di kawasan kediaman penduduk masih giat dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Seorang penduduk Kampung Pasir Raja, Norhazilah Hamzah, 35, berkata, dia dan keluarganya masih tinggal di PPS berikutan lantai rumahnya rosak teruk dan berlubang akibat banjir besar pada Khamis lalu.
“Kalau boleh memang nak duduk rumah sendiri lebih selesa. Namun, banjir kali ini menyebabkan lantai rumah berlubang, bimbang juga kalau tiba-tiba runtuh.
“Buat masa sekarang saya tinggal di PPS dahulu sehingga lantai rumah dibaiki,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Ramlan Ibrahim, 45, berkata, banjir yang paling teruk dalam tempoh lebih 50 tahun itu menyebabkan hampir keseluruhan peralatan dalam rumahnya musnah.
“Kami belum bersedia nak balik rumah sebab keadaan rumah tidak selesa. Kesan lumpur pun masih ada terutamanya di luar rumah.
“Habis semua peralatan rumah saya rosak termasuk barangan elektrik, perabot dan tilam. Saya akan cuba baiki barangan elektrik seperti peti dan mesin basuh, harapnya ada rezeki kami,” katanya.
Ramlan berkata, meskipun banjir sudah pulih, namun dia dan penduduk lain masih bimbang sekiranya banjir masih berlaku berikutan musim monsun timur laut belum berakhir. – UTUSAN










