KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga Bangladesh maut setelah dilanggar kereta ketika melintas jalan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu, Mustoffa Molla, 39, yang juga pekerja di sebuah pasar raya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki basikal cuba melintas jalan secara tergesa-gesa.
“Mangsa dipercayai datang dari arah Kampung Padang Hiliran dengan menaiki basikal dan mahu menyeberangi jalan dari sebelah kiri.
“Setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah Jambatan Sultan Mahmud telah membrek kenderaannya namun gagal mengelak mangsa.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah.
“Pemandu kereta yang juga lelaki berusia 57 tahun pula terselamat dan membuat laporan di Balai Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










