KSN sebak, penjawat awam dicemuh, dipandang negatif

KSN sebak, penjawat awam dicemuh, dipandang negatif

MOHD. Zuki Ali ketika hadir pada Majlis Amanat KSN Tahun 2024 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali kelihatan sebak ketika berucap pada Majlis Amanat KSN Tahun 2024 yang berlangsung hari ini.

Difahamkan, beliau tersentuh ketika menyuarakan mengenai tanggapan umum terhadap penjawat awam ketika ini.

Mohd Zuki dilihat beberapa kali berhenti berucap dan mengelap air mata sebelum meneruskan ucapan sambil meminta maaf kepada penjawat awam yang hadir pada program itu.

“Saya meminta agar penjawat awam tidak lemah dengan sebarang tanggapan negatif. Penjawat awam adalah sinonim dengan kata- kata hero tidak didendang, buat tidak dikenang dan jika terkurang, maka kita terus dijadikan sasaran.

“Tapi janganlah kita lemah dan longlai dengan tanggapan sebegitu, kerana kita hanya memegang amanah dan akan terus menjalankan kepercayaan itu dengan sebaiknya,” katanya yang menyifatkan penjawat awam merupakan benteng negara.

Katanya, penjawat awam ini sebenarnya entiti yang melindungi kemaslahatan rakyat dan memberi perkhidmatan sebaik mungkin.

Mohd Zuki berkata, penjawat awam sebenarnya telah mencuba sehabis baik dan akan terus melakukan terbaik untuk kebaikan berterusan kepada rakyat.

“Saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua penjawat awam yang telah bersama- sama saya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki meminta penjawat awam supaya mempergiatkan promosi perkhidmatan kepada rakyat.

“Dendangkan dan optimumkan sepenuhnya segala sumber dan platform yang kita ada, media sosial, media perdana dan segala jenis media agar sampai kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN