KLANG: Klang bukan sahaja dikenali sebagai bandar pelabuhan sebaliknya pernah menjadi pusat pentadbiran negeri ini antara 1875 hingga 1903 sebelum melalui pelbagai perubahan landskap fizikal dan kerencaman budaya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daerah itu merupakan bandar yang penuh dengan sejarah sebelum berkembang menjadi antara pusat ekonomi utama negara.
“Sekian lama, Bandaraya Klang telah terus berkembang menjadi antara pusat ekonomi utama negara, selain daripada satu pusat pentadbiran, pusat industri, serta pusat pelancongan yang mencerminkan kekayaan lokaliti dan masyarakat yang berbilang budaya dan fahaman.
“Tambahan kepada itu, Klang merupakan tuan rumah kepada Pelabuhan Kedua belas paling sibuk di dunia dan kedua paling sibuk di Asia Tenggara iaitu di Pelabuhan Klang.
“Apabila bertemu dengan para pelabur tempatan dan luar negara, saya seringkali menyebut bahawa Selangor adalah Gateway (Gerbang) to ASEAN, Selangor adalah pintu masuk ke Asia Tenggara, dan Klang dengan pelabuhannya adalah pintu masuk ekonomi Malaysia,” katanya dalam sembah ucapan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Perisytiharan Klang Bandaraya Diraja, hari ini.
Beliau menambah, pengiktirafan Klang adalah unit apabila menjadi bandar raya diraja pertama di Selangor dan ketiga di negara ini selepas Alor Setar dan Johor Bahru.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Klang bakal dihubungkan ke jaringan pengangkutan awam yang dapat tiba di Kuala Lumpur dan dijangka siap pada tahun hadapan selain pembinaan hospital baharu di Kapar bagi mengatasi tekanan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Bukan itu sahaja. Jaliran lebuhraya yang sedang dibina oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) bakal menghubungkan Klang dan kawasan Pantai Barat Selangor sehingga ke Taiping mampu meningkatkan tahap keterhubungan ke bahagian utara.
“Klang juga merupakan satu tempat yang sedang bergerak pantas ke arah menangani cabaran perubahan iklim dan menjadi lebih berdaya tahan serta menjadi sebuah bandar rendah dan neutral karbon.
“Melalui anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings, sebuah loji jana kuasa di Pulau Indah dengan kapasiti 1,200 megawat (MW) dengan tahap kecekapan lebih 60 peratus berbanding kaedah konvensional bakal siap,” ujarnya. – UTUSAN










