Kenaikan harga hotel tidak jejas sektor pelancongan - Utusan Malaysia

Kenaikan harga hotel tidak jejas sektor pelancongan

SUAIBAH HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kenaikan harga hotel susulan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula Mac ini tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di Terengganu kerana kenaikannya adalah dalam kadar yang minima.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, pelancong tidak perlu bimbang untuk datang ke Terengganu kerana kadar kenaikan itu masih rendah jika dibandingkan dengan harga hotel di tempat lain.

Menurutnya, memang terdapat sedikit peningkatan kadar harga sekurang-kurangnya 20 peratus namun ia masih dalam lingkungan harga yang berpatutan.

“Operator hotel tidak mempunyai pilihan selain menaikkan kadar harga namun pada masa sama, kita menjanjikan perkhidmatan yang diberikan juga adalah berkualiti untuk kepuasan pelanggan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus menerusi Perluasan Asas Fiskal di bawah Komitmen Reformasi Fiskal.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan kenaikan itu tidak membebankan rakyat kerana tidak melibatkan barangan dan perkhidmatan seperti makanan.

Mengulas lanjut, Suaibah yang juga Pengurus Besar Primula Beach Hotel berkata, kebanyakan pelancong pasti sudah membuat perancangan awal sebelum bercuti ke mana-mana lokasi dan sudah mengetahui kadar harga yang ditetapkan pihak hotel sebelum membuat tempahan.

“Kenaikan ini tidak begitu membebankan kerana perkhidmatan lain tidak mengalami kenaikan.

“Setakat ini permintaan hotel di Kuala Terengganu masih tinggi terutama untuk hotel-hotel yang berada di sekitar pusat bandar.

“Jika dilihat kadar tempahan sempena cuti Tahun Baharu Cina, kebanyakan tempahan hotel di Kuala Terengganu adalah sekitar 90 peratus dan ia masih di paras yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya