BUTTERWORTH : Tujuh kontena mengandungi arak seludup dianggarkan bernilai RM7.13 juta termasuk cukai dirampas di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor dalam tiga operasi berasingan baru-baru ini.
Pemeriksaan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mendapati, terdapat pelbagai minuman keras dianggarkan berjumlah 180,926 liter yang disimpan di dalam ketujuh-tujuh kontena terbabit.
Pengarah JKDM negeri, Roselan Ramli berkata, rampasan pertama pada 31 Januari lalu itu membabitkan dua buah kontena mengandungi 106,560 tin minuman keras jenis bir yang dianggarkan bernilai RM263,340 dan cukai berjumlah RM1,708,984.20.
“Siasatan awal mendapati, kontena terbabit dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan di Kuala Lumpur dan dagangan ini juga disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Timur.
“Berdasarkan maklumat dalam ‘Bill of Lading’ pula, dagangan itu telah diikrarkan sebagai kepingan aluminium.
“Seorang lelaki berusia 30-an yang bertindak sebagai ejen perkapalan juga telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Ajam, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roselan berkata, rampasan kedua yang dijalankan pada hari sama berjaya menemukan empat kontena yang mengandungi 202,356 tin bir melibatkan nilai anggaran RM561,541.20 dan cukai berjumlah RM3,451,339.98.
Katanya, berdasarkan maklumat di dalam ‘Bill of Lading’, dagangan itu diikrarkan sebagai aloi tembaga bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Sementara itu, rampasan ketiga yang dijalankan pada 7 Februari lalu pula berjaya menahan sebuah kontena mengandungi 52,320 tin bir yang disyaki tidak berkastam melibatkan nilai rampasan yang dianggarkan berjumlah RM144,000 dan cukai berjumlah RM1,004,282.40.
“Siasatan awal mendapati kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang,” ujar beliau.
Tambahnya, siasatan bagi ketiga-tiga kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967. -UTUSAN










