Kartel: Letak urusan beras bawah JPM

Kartel: Letak urusan beras bawah JPM

Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) cadang urusan beras diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan perlu kembali mengawal selia urusan beras negara sepert mana Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang dimansuhkan pada 1996 bagi memerangi isu kartel yang mensabotaj bekalan makanan ruji itu sehingga membebankan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang berkata, urusan itu boleh diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan melantik seorang pengerusi manakala ahli lembaganya dilantik dalam kalangan pemain industri beras negara.

Menurutnya, pendekatan tersebut lebih baik dalam menyelesaikan isu kartel berbanding cadangan mewujudkan beras putih Malaysia Madani yang masih belum jelas pelaksanaannya.

“Apabila ada kekurangan dalam isu beras umpamanya keperluan beras import, libat urus kerajaan kepada kerajaan (G2G) dengan negara pembekal boleh diuruskan oleh kerajaan sendiri.

“Segala urusan akan ditentukan oleh kerajaan sendiri sepertimana LPN dahulu. Jika kerajaan hendak wujudkan Majlis Padi dan Beras Negara (MAPEN), kaedah operasinya sama seperti LPN dahulu, cuma mungkin pendekatan berbeza disebabkan keadaan semasa,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, cadangan mewujudkan beras putih Malaysia Madani akan membantu negara memerangi tindak tanduk kartel dalam industri tersebut.

Pada 14 Februari lalu, Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram bermula 19 Februari ini.

Syed Abu Husin dilaporkan berkata, ekoran itu kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, cadangan mewujudkan satu gred Beras Putih Malaysia Madani yang dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram memerlukan kajian terperinci supaya rakyat tidak terbeban dan benar-benar mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.

“Terdapat beberapa faktor perlu diambil kira jika kerajaan hendak memperkenal beras putih Madani. Pertama, apakah jenis gred itu dan kategori apa? Adakah mahu tetapkan beras import atau beras tempatan.

“Kedua, jika mahu tetapkan beras import, siapa nak tanggung kos lebihan kerana beras putih import 10 kilogram berharga RM32, bermakna lebihan RM2 siapa nak tanggung kecuali kerajaan bagi subsidi satu kilogram RM5, ia boleh dilaksanakan.

“Ketiga, jika beras madani ditetapkan beras tempatan, mana mungkin boleh jual RM30 sedangkan harga sekarang RM26 untuk kampit 10 kilogram. Sudah tentu rakyat marah kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, jika hendak tetapkan beras campur bersama beras tempatan dan beras import, ia menyalahi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Beliau dalam pada itu berkata, isu beras memerlukan kajian mendalam dan mematuhi peraturan ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN