Kanak-kanak di Gaza makan dedak ayam

Kanak-kanak di Gaza makan dedak ayam

Seorang bapa memeluk anaknya selepas mengecam ahli keluarganya yang terbunuh akibat serangan Israel di Hospital al-Najjar, Gaza, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kanak-kanak Palestin yang melarikan diri ke utara Gaza berdepan risiko mati kebuluran disebabkan bantuan kemanusiaan tidak dapat sampai sepenuhnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron berkata, kanak-kanak di sana terpaksa makan apa sahaja yang boleh dijadikan  sumber makanan untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka makan apa yang ada seperti daun, rumput dan juga makanan haiwan seperti jagung kering, dedak ayam dan lain-lain untuk meneruskan kehidupan mereka di sana,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan hampir separuh penduduk Gaza yang melarikan diri ke wilayah kecil di selatan bersempadanan dengan Mesir di Rafah, kini terpaksa mengosongkan kawasan tersebut atas arahan tentera Israel.

“Penduduk di Rafah sudah pun terima arahan untuk kosongkan Rafah melalui memo dari udara. Bukan itu sahaja, bekalan makanan juga semakin susah nak dapat dan lori bantuan kemanusiaan dibom oleh tentera Israel,” katanya semalam.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa Palestin, jumlah serangan terhadap rakyatnya kini mencecah 28,268 kes sejak peperangan meletus di Semenanjung Gaza sehingga semalam.

Tambah Nurul Ain, Hamas dan Israel juga sedang dalam perbincangan untuk melakukan gencatan senjata dan masih lagi dalam proses perundingan.

“Pihak Israel minta untuk gencatan sementara tapi Hamas tidak bersetuju dan minta untuk gencatan berkekalan.

“Mereka juga (Israel) tidak bersetuju dan masih meneruskan serangan. Buat masa sekarang masih lagi dalam perbincangan untuk gencatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Israel, Netanyahu berkata, perang di Gaza akan berterusan sehingga ‘kemenangan’ dicapai, sehari selepas menerima maklum balas Hamas terhadap perjanjian gencatan senjata.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 27,708 orang terbunuh dan 67,147 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×