PETALING JAYA: Polis menggempur sebuah rumah inap desa Tanjung Karang dekat sini yang dijadikan rumah transit pendatang asing tanpa izin (PATI), semalam.
Op Pintas kira-kira pukul 9.45 malam itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Balai Polis Kuala Selangor.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi membanteras sindiket penyeludupan migran itu berjaya menahan seramai 48 warga Indonesia berusia lingkungan enam hingga 51 tahun.
Menurutnya, tangkapan termasuk 14 wanita dan tiga kanak-kanak.
“Siasatan mendapati dua lelaki berperanan sebagai penjaga premis dan tekong darat.
“Dipercayai PATI yang ditahan ini membayar antara RM1,500 hingga RM3,000 untuk diseludup keluar ke Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, dipercayai kegiatan sindiket tersebut telah bergiat aktif sejak Disember tahun lalu.
Katanya, modus operandi sindiket dengan membawa migran ke lokasi pelepasan dan bertolak ke Indonesia melalui jalan laut.
“Fokus operasi ini adalah untuk membanteras rangkaian sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan negeri Selangor.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – UTUSAN










