KUALA LANGAT: Hampir setengah juta pekerja asing mempunyai permit sah di negeri ini dipercayai tinggal dalam ‘penempatan haram’ akibat kegagalan majikan menyediakan tempat penginapan yang kondusif seperti ditetapkan undang-undang.
Daripada jumlah keseluruhan kira-kira 595,000 pekerja asing yang bekerja secara sah di Selangor, hanya 140,000 sahaja tinggal di penempatan mempunyai perakuan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Ketua Pengarahnya, Kamal Pardi berkata, oleh demikian pihaknya melaksanakan Operasi Bersepadu Mega Gegar (Ops Gegar) dengan kerjasama agensi seperti polis, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan sebagainya.
Menurutnya, secara keseluruhan, pada hari ini pemeriksaan di 33 buah premis pekerjaan di 13 negeri termasuk Labuan dilakukan melibatkan seramai hampir 800 pekerja tempatan dan lebih kurang 1,150 pekerja asing.
“Manakala sebanyak 57 Kertas Siasatan (KS) akan dibuka ke atas majikan yang terlibat.
“Jadi, untuk tumpuan kita pada hari ini adalah untuk melihat sama ada majikan membayar gaji yang sepatutnya berdasarkan Akta Kerja 1955 dan juga sama ada mereka menyediakan penginapan bersesuaian mengikut Akta Perumahan, Kebajikan dan Kemudahan Pekerja 1990.
“Di Selangor pada hari ini ada tiga syarikat yang kita lawati, kita lihat bagaimana perumahan pekerja yang disediakan oleh majikan amat daif, sempit, bersesak dan panas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama sepasukan daripada JTKSM dan pelbagai agensi membuat pemeriksaan terhadap kilang-kilang sekitar daerah ini dan mendapati kesemuanya gagal menyediakan penginapan yang wajar kepada pekerja-pekerja mereka.
Jelasnya, selain penginapan turut diperiksa adalah hak-hak pekerja asing yang tertakluk di bawah Akta Kerja 1955 seperti bayaran gaji minimum RM1,500 serta hak lain sepatutnya diterima mereka.
“Kita hendak pastikan kebajikan pekerja, walaupun mereka bukan rakyat tempatan, kita jaga semua. Apabila mereka digajikan, kita mahu kebajikan mereka dijaga. Jadi, kami akan membuka kertas siasatan terhadap kesalahan yang berlaku.
“Kita akan dapatkan maklumat, tetapi berdasarkan rekod kami, penginapan yang disediakan tidak mendapat perakuan daripada JTKSM. Sepatutnya kalau hendak menyediakan kemudahan itu, mesti mendapatkan kebenaran atau perakuan terlebih dahulu untuk kita pastikan tempat tinggal mereka adalah kondusif,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pemeriksaan susulan akan dilakukan terhadap majikan-majikan yang diberikan notis pematuhan bagi memastikan mereka menyediakan kemudahan sepatutnya kepada pekerja-pekerja.
“Memang kita datang tak maklum kepada majikan, kita datang berdasarkan risikan, ada pekerja asing, kami masuk. Kita akan buka siasatan dan sudah tentu notis pematuhan diberikan supaya mereka membersihkan dan memohon kepada kami dengan menyediakan penginapan yang sesuai.
“Kalau mereka dapat pergi ke Pusat Penempatan Pekerja (CLQ) lagi mudah sebab ia sudah pun ada perakuan. JTKSM akan datang lagi lepas notis pematuhan dikeluarkan, sama ada mereka patuh atau tidak,” ujarnya. – UTUSAN










