KUANTAN: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan berjumpa skuad terjun Malaysia bagi mendengar sendiri dakwaan terdapat kemelut dalaman yang berlaku dalam kem negara susulan kegagalan dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.
“Kita akan mendengar dari kumpulan sasar kita iaitu atlet dan jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) kerana masing-masing ada justifikasi mereka kenapa benda ini dibuat sebegini tetapi kita akan dengarlah.
“Tetapi untuk atlet dalam Road To Go (RTG) memang segala persiapan yang mereka nak, duit yang mereka hendak kita sudah bagi tambahan. Jadi sekarang terpulang kepada atlet,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Siap Keria Trek Sintetik Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.
Dakwaan terdapat ‘entiti’ mengganggu skuad terjun negara itu dibangkitkan oleh ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong kepada media semalam susulan kegagalan beliau menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Semalam, atlet dalam program Road To Gold (RTG) itu memohon maaf di atas kegagalannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas di pusingan kelayakan di Doha dalam acara 10 meter (m) platform individu.
Pandelela gagal melayakkan diri dalam acara 10m platform seirama bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.
Sementara itu, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam proses untuk melakukan pembaharuan bagi meningkatkan ekosistem sukan negara.
“Kita sudah mula memberikan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kepada atlet dan sudah menaikkan gaji jurulatih, tetapi masih ada lagi ruang untuk penambahbaikan,” ujarnya.
Dalam pasa itu katanya, bagi atlet RTG, semua persiapan dan keperluan tambahan termasuk dari segi kewangan sudah sudah dipenuhi oleh pihak kerajaan.
“Saya tidak akan katakan bahawa segala beban untuk mengejar emas hanya terletak kepada satu atau dua atlet. RTG telah ditetapkan kriteria pemegang pingat pada Olimpik pusingan lalu dan juga 10 teratas.
“Tapi ada juga mereka yang bukan Top 10, saya tidak katakan yang bukan Top 10 tidak boleh menang. Dalam sukan, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Sesiapa yang bertanding ada kemungkinan boleh kalah dan menang,” katanya.










