KETIKA awal kemunculannya dalam industri muzik, Rihanna selalu dibanding-bandingkan dan sering menerima kritikan kerana kemampuan nyanyiannya yang dianggap kurang menonjol berbanding penyanyi lain seperti Beyonce.
Namun hari ini, penyanyi kelahiran Barbados ini mendominasi sebagai penyanyi wanita paling berpengaruh di dunia dengan jumlah kekayaan melebihi AS$1.4 bilion.
Sebahagian besar nilai kekayaan dimiliki beliau adalah hasil perniagaan kosmetik, Fenty Beauty yang dilancarkannya pada 2017.
Ibarat tidur berbantalkan emas, Robyn Rihanna Fenty menikmati segala kemewahan diinginkannya pada usia 36 tahun. Berikut Pancaindera kongsikan empat harta bernilai tinggi dimiliki Rihanna!
RUMAH MEWAH DI HOLLYWOOD HILLS
Rihanna memiliki sebuah rumah agam di kawasan perumahan bertaraf elite, Hollywood Hills yang dibelinya pada 2017.
Rumah tersebut, yang berkeluasan 7,130 kaki persegi dilengkapi tujuh bilik tidur dan sembilan bilik mandi serta sebuah pawagam mini.

Ia turut mengandungi pekarangan berpagar yang luas dan kawasan khas yang menempatkan koleksi kenderaan mewah penyanyi tersebut.
Lebih menarik rumah itu dilengkapi kolam renang yang airnya mengalir di setiap penjuru selain pemandangan berdepan bandar Los Angeles.
LAMBORGHINI AVENTADOR
Rihanna merupakan peminat kereta yang memiliki puluhan koleksi kenderaan mewah bernilai ratusan ribu.
Antara yang menjadi kegemarannya adalah Lamborghini Aventador berwarna merah yang berharga AS$400,000.

Kereta berkelajuan 217.5 meter sejam dikuasakan dengan enjin yang menjadi antara terbaik dalam pembuatan kereta iaitu 690 bhp V12.
ROLEX DAY DATE PRESIDENT
Pada 2012, Rihanna hadir bersama bekas teman lelakinya yang juga penyanyi, Chris Brown ke sebuah majlis dengan mengenakan jam tangan Rolex.

Jam tangan tersebut yang bertatahkan berlian dan disimpan dalam bekas disaluti emas 18 karat dianggarkan bernilai sekitar AS$15,000.
BARANG KEMAS DAN PAKAIAN MEWAH
Rihanna menyimpan koleksi barang kemas dan pakaian mewah yang dianggarkan bernilai AS$40 juta.
Beliau gemar memperagakan pakaian berjenama mewah seperti Louis Vuitton dan Gucci ketika hadir ke majlis rasmi dan acara keramaian.

Penyanyi ini juga sering mengenakan kasut berjenama yang berharga ribuan ringgit seperti Stella McCartney dan Giuseppe Zanotti.
Rihanna turut memiliki koleksi barang kemas termasuk yang dihasilkan dengan salutan emas 18 karat dan seramik hijau berharga pound sterling 1,070.
Namun barang kemas kegemaran yang selalu dipakai penyanyi ini adalah rantai yang diperbuat daripada 6,000 batu permata yang diinspirasikan kepulauan Barbados.









