KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu memperbanyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan agensi itu terus berdaya saing dalam sektor kelapa sawit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman berkata, R&D di Felda amat kurang berikutan kekurangan peruntukan.
Justeru, katanya, Felda perlu menambah baik R&D dalam industri kelapa sawit dan getah terutama membabitkan penyelidikan terhadap prospek penggunaan minyak sawit yang pelbagai, rawatan tanah (pH) serta baja.
“R&D sangat penting dalam memperkasa inovasi dan teknologi terkini. Jika tidak, kita tepu dengan teknologi sedia ada.
“Komoditi yang dipelbagai menghasilkan teknologi yang sentiasa canggih. Sayang kita tidak manfaatkan walau sumbernya ada.
“Jadi, boleh berkolaborasi kepakaran dari penyelidik seperti universiti awam dan swasta,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai aspek yang perlu ditambah baik Felda untuk lebih meneroka bidang berkaitan kelapa sawit.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mahu Felda fokus pada perniagaan terasnya dengan memanfaatkan hampir 800,000 hektar tanah untuk meningkatkan pengeluaran kelapa sawit negara.
Menurutnya, Felda tidak boleh keluar daripada aktiviti yang tidak ada kena mengena dengan kelapa sawit kerana kepakarannya adalah dalam bidang tersebut.
“Kita kena fokus dan Felda tidak boleh lagi terlibat dalam macam-macam benda, mahu buat gula, hotel. Bukan tak boleh, kita buat benda-benda itu bila kita ada tunai tambahan.
“Tapi kita ada hutang dan (jika) kita tak tumpukan pada perniagaan teras, kita akan berdepan banyak masalah apabila hutang-hutang ini perlu dibayar. Akhirnya kita terpaksa jual balik hotel, cari siapa yang nak beli kilang gula,” katanya.
Senada dengan Johari, Mazlan berkata, sektor komoditi yang berkaitan minyak dan getah terbuka luas untuk diteroka.
Katanya, ini kerana prospek dan pasarannya besar, maka ia menjanjikan pendapatan dan peluang pekerjaan selari dengan teknologi serta inovasi.
“Apabila buat bidang yang bukan teras tanpa kepakaran mendalam, maka kebarangkalian untuk gagal juga besar. Ia membazir tanpa banyak manfaat,” katanya. – UTUSAN










