JOHOR BAHRU: Empat sungai di sekitar Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dekat sini dikesan tercemar dan berada pada tahap yang membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pemeriksaan yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor mendapati sungai berkenaan iaitu Sungai Tukang Batu, Sungai Perembi, Sungai Buluh dan Sungai Kim Kim berada pada tahap tiga dan empat.
“Berdasarkan sampel air yang diambil dari empat sungai terbabit mendapati sungai itu tercemar pada tahap tiga dan tahap empat, perkembangan ini amat membimbangkan.
“Kita akan terus memantau situasi sungai ini dari semasa ke semasa bagi memastikan peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim yang pernah melanda kawasan ini sebelum ini tidak berulang,” katanya.
Terdahulu, Tian Soon bersama-sama pegawai JAS negeri dan cawangan Pasir Gudang serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengadakan pemantauan di kawasan perindustrian tersebut.
Menurutnya, usaha mengambil sampel air di sungai berkenaan akan digandakan serta pemantauan dari semasa ke semasa akan dijalankan.
Pada 19 April 2021, Utusan Malaysia pernah melaporkan Sungai Kim Kim yang pernah menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah akibat pencemaran sisa toksik pada Mac 2019 dikelaskan dalam Kelas V yang dikategorikan sebagai paling tercemar dan tidak sesuai untuk sebarang kegunaan mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS).
Dapatan itu hasil sampel air yang diambil di dua lokasi berbeza dengan kerjasama sebuah makmal bebas bertauliah di Johor Bahru. Makmal tersebut melakukan ujian lebih dua minggu bagi mendapatkan keputusan tepat.
Keputusan makmal yang diperoleh mendapati parameter bagi Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) di Sungai Kim Kim didapati berada pada tahap 16 mg/L, melebihi kadar sepatutnya bagi sungai Kelas III yang hanya sekitar 6 mg/L.
Selain itu, keputusan ujian mikrobiologi air di sungai tersebut turut mengesan kehadiran bakteria Escherichia coli atau E. coli dalam kuantiti tinggi yang boleh memudaratkan kesihatan manusia sehingga menjadi punca cirit-birit berdarah.
Meskipun dalam kebanyakan jenis E. coli hanya seberapa sahaja yang boleh menyebabkan cirit-birit namun satu kumpulan E. coli termasuk O157: H7 boleh menghasilkan toksik sehingga merosakkan lapisan usus kecil manusia yang akhirnya individu itu mengalami cirit-birit berdarah.
Dalam pada itu, Tian Soon mendedahkan, antara punca menyebabkan sungai tercemar adalah akibat aktiviti industri, kumbahan dan sikap membuang sampah-sarap sesetengah masyarakat,
“Kami berharap pengilang, pengusaha mematuhi peraturan selain pelbagai agensi bersama menjaga kelestarian dan kebersihan sungai. Pihak industri dikehendaki memastikan sebarang pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesihatan awam tidak berlaku dan sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974,” katanya.
Terdapat enam kelas sungai dikategorikan JAS, iaitu Kelas 1 (dalam keadaan semula jadi), Kelas 2A (air memerlukan rawatan konvensional), Kelas 2B (Air boleh digunakan untuk rekreasi), Kelas 3 (Air memerlukan rawatan intensif), Kelas 4 (hanya untuk tujuan pengairan dan kelas 5 (air yang tercemar teruk).
Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel ke [email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my. – UTUSAN









