Daulatkan undang-undang Islam di peringkat Persekutuan

Daulatkan undang-undang Islam di peringkat Persekutuan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 membuktikan undang-undang Islam didaulatkan dan disahkan di peringkat Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ia sekali gus menunjukkan ada pengharmonian antara bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah dan bukannya menafikan kedudukan agama dan prinsip Islam dalam undang-undang awam.

Menerusi penghakiman mahkamah berhubung kes tersebut menjelaskan tidak ada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-dua sistem syariah dan sivil (awam) melaksanakan hukuman takzir.

Katanya, masyarakat mudah terkeliru kerana ‘civil court’ diterjemahkan mahkamah sivil, bukannya mahkamah awam yang mana Istilah ‘civil’ mudah dimanipulasi sebagai suatu yang tidak syariah.

“Rakyat perlu faham bahawa mahkamah awam itu membicarakan selain undang-undang diri orang Islam.

“Apabila mahkamah bersetuju bahawa mahkamah sivil (awam) juga mengadili undang-undang takzir, maka ia mengesahkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan negeri sekali gus memperkukuhkan undang-undang Islam di Malaysia.

“Pada masa sama ia menunjukkan mahkamah sivil mengesahkan dan mengiktiraf 16 kesalahan itu sebagai undang-undang Islam di peringkat Persekutuan,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkannya 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat meleraikan pertikaian undang-undang di negeri itu selepas membenarkan petisyen yang dikemukakan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62 dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26.

Wan Ahmad Fauzi berkata, apabila undang-undang Islam itu disahkan berada dalam undang-undang Persekutuan maka perlu bagi setiap hakim mendalami jurisprudens Islam.

Katanya, langkah ini mengembalikan ‘bola’ kepada ahli legislatif badan perundangan untuk mengukuhkan pelaksanaan undang-undang Islam di peringkat persekutuan dan negeri.

Justeru, katanya, semua pihak tidak boleh melihat isu ini sebagai isu politik kerana mahmah hanya melaksanakan undang-undang yang digubal mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN