KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menggesa agar tindakan segera dikenakan ke atas pempengaruh media sosial, Dd Chronicle atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman Ra’e, 43, yang menerbitkan video parodi mempersendakan keputusan mahkamah dan agama Islam.
Timbalan Ketua AMK negeri, Amar Abd Jalil berkata, walaupun pihak terlibat telah membuat permohonan maaf, namun tindakan perlu diambil sebagai pengajaran kepada pempengaruh terlibat yang dilihat mempersendakan agama Islam susulan keputusan mahkamah membatalkan enakmen kanun jenayah syariah di Kelantan sebelum ini.
Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) juga telah menitahkan agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah berhubung kes tersebut.
“Bila seorang pempengaruh menghasil video parodi sebegini, ia akan memberi impak di mana masyarakat beranggapan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak Islam.
“Seharusnya perkara ini dikaji dahulu kerana kes itu bukan berkaitan Islam hanya membabitkan percanggahan undang-undang enakmen negeri dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Amar bersama tujuh wakil AMK negeri hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bagi membuat laporan berhubung penerbitan video parodi berkenaan.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi tiga minit 55 saat yang memaparkan tindakan pempengaruh itu melakonkan semula perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.
Pempengaruh itu bagaimanapun tampil memohon maaf berkaitan video parodi berkenaan dan mengakui kesilapan berlaku kerana terlepas pandang serta tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.
Justeru, atas kesedaran tersebut beliau bertindak memadam video berkenaan demi menghormati undang-undang.
Dalam pada itu, Amar menggesa agar Dediy disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.
“Kami mohon jasa baik pihak polis untuk ambil tindakan kerana jika perkara ini tidak dibendung, ia dibimbangi akan menjadi ikutan pihak lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop mengesahkan menerima laporan tersebut pada pukul 5.32 petang.-UTUSAN










