PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.
Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.
Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah melibatkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.
Panel itu membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukan tersebut.
Mahkamah tertinggi negara turut memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang diperikaikan itu kerana ia merupakan bidang kuasa Parlimen.
Hakim Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu berkata, badan berkenaan melangkaui kuasa Parlimen ketika menggubal 16 peruntukan tersebut.
Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli mencapai keputusan menentang.
Turut menganggotai panel itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Pada 17 Ogos 2023, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen dan Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif mewakili Kerajaan Negeri Kelantan manakala Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Pada 20 November 2023, panel sembilan hakim itu turut mendengar penghujahan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal 18 peruntukan undang-undang itu.
Beliau yang mewakili Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) selaku peguam pemerhati berkata, tiada satu pun peruntukan undang-undang yang dicabar oleh Nik Elin dan anaknya, tertakluk di bawah 27 senarai undang-undang Persekutuan.
Pemerhati-pemerhati lain terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Badan Peguam Malaysia turut bertindak selaku pemerhati.
Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak-pihak yang bertindak selaku sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam petisyen tersebut iaitu Sisters In Islam Forum (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). SIS dan Badan Peguam menyokong petisyen Nik Elin manakala yang lain membantahnya. – UTUSAN










